Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia PPIM, Datuk Nadzim Johan bercakap kepada media mengenai Kontraktor Mangsa Penyelewengan pada sidang media di Ibu Pejabat PPIM, Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menegaskan Malaysia tidak perlu lagi mengikut istiadat luar berhubung upacara berkaitan dengan anggota keselamatan negara.

Menurut beliau, sudah tiba masanya kerajaan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) sendiri yang melibatkan perasmian upacara rasmi kerajaan.

“Kita kena tubuhkan SOP yang dipersetujui oleh kabinet atau diluluskan oleh kerajaan, jadi mudah tidak pening kepala, jadi mudah untuk jawab.

“Ini yang disebut tadi. Tidak terpengaruh dengan benda boleh tambah masalah esok kita buat sendiri buku SOP yang kita persetujuan dan rakyat faham,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Nadzim diminta mengulas mengenai isteri Menteri Pertahanan, Normah Alwi yang merupakan salah seorang perasmi kapal perang negara di Wuhan, China bersama-sama Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Pengarah Boustead Heavy Industry Corporation (BHIC), Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali (Bersara), pihak pengurusan China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) serta China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Tambah Nadzim, perkara ini perlu memandangkan pelbagai isu yang timbul sejak Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

“Saya harap perkara ini dapat dipersetujui bersama mungkin di Kementerian Pertahanan, mungkin di kabinet. Jadi kita tidaklah buat kerja, ada yang merasmikan majlis rasmi. Kita harap benda ini tidak berlaku.

“Tujuannya mudah sahaja, kita mesti ada tujuan yang baik dan tanpa perlu menjawab selesai timbul satu-satu isu,” katanya lagi.

Semalam, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelaskan mengenai isu isteri kepada Menteri Pertahanan yang diundang untuk merasmikan pelancaran dan penamaan kapal TLDM adalah tradisi yang diamalkan oleh TLDM.

“Upacara pelancaran dan penamaan kapal LMS pertama TLDM yang telah disempurnakan oleh isteri kepada Menteri Pertahanan, Normah Alwi di Wuhan, China semalam merupakan upacara tradisi yang diamalkan selama ini oleh TLDM dan gelaran Lady Sponsor kepada isteri Menteri Pertahanan adalah perkara yang biasa dilaksanakan” demikan menurut kenyataan itu. -MalaysiaGazette