Razali Ismail

KUALA LUMPUR – Tan Sri Razali Ismail letak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada Isnin lalu.

SUHAKAM dalam kenyataannya hari ini mengucapkan tahniah kepada Razali yang memegang jawatan peneraju suruhanjaya itu selama tiga tahun.

Beliau disifatkan seorang yang telah berjaya memperkukuhkan profil SUHAKAM dan berdiri teguh dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia melalui sokongannya terhadap kesemua usaha-usaha serta pendirian yang diambil oleh SUHAKAM.

“Ini termasuk penyertaan kepada triti-triti antarabangsa yang akan memastikan agar perlindungan hak asasi dapat diserapkan di dalam undang-undang dan meliputi dedikasi tanpa henti beliau dalam memperjuangkan perubahan sosial dan institusi yang mana ini amat diperlukan bagi perlindungan terhadap kesaksamaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman,” kata kenyataan yang sama.

Menurutnya, pengalaman Razali pada peringkat antarbangsa dan sebahagian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk kerjasama dengan masyrakat secara umumnya merupakan sesuatu yang amat diperlukan dalam usaha yang dilakukan SUHAKAM.-MalaysiaGazette