DAP hari ini mengumumkan lima lagi calon yang akan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.- Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi Johor Tan Hong Pin hari mengesahkan bahawa namanya akan digugurkan dari barisan baharu anggota exco kerajaan negeri.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu berkata beliau tahu mengenai rombakan exco itu pada hari Isnin, sehari selepas ADUN Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-17 di Istana Bukit Serene.

“Saya telah dimaklumkan bahawa saya akan diganti,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi Whatsapp di sini hari ini.

Semasa ditanya langkah beliau selanjutknya, setiausaha DAP Johor itu berkata beliau akan serahkan perkara itu kepada kepimpinan parti.

“Saya dipilih oleh pengundi kerana mereka mahukan seorang ADUN, bukan seorang exco, jadi saya akan terus berkhidmat kepada rakyat sebagai ADUN,” tambahnya.

Tan merupakan salah satu daripada dua nama yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian yang akan digugurkan daripada senarai exco, semalam.

Satu lagi nama adalah Mazlan Bujang, pengerusi jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Terdahulu hari ini Dr Sahruddin berkata barisan baru anggota exco kerajaan negeri akan diumumkan menjelang akhir minggu ini.

— BERNAMA