Shaharuddin Khalid
Datuk Seri Shaharuddin Khalid. foto AFFAN FAUZI, 15 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangannya yang terlibat dengan aktiviti rasuah.

Demi menegakkan intergriti agensi itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan siasatan ke atas 24 anggotanya.

Malah JPJ akan menggantung kerja kesemua 24 anggota yang disiasat atas dakwaan rasuah selama 2 bulan selepas dibebaskan SPRM.

“Ingin saya memberi amaran kepada semua (kakitangan) JPJ, isu intergriti tidak ada kompromi. Rasuah, korupsi tidak ada tolak ansur sekiranya adanya tangkapan kita tidak akan mempertahankannya, kita akan bantu siasatan.

“Kalau ada lagi (tangkapan) saya tidak akan menghalang kerana kita mahu agensi ini bersih elemen rasuah dan intergriti.

“Kita tidak sewajarnya menjalankan siasatan dalaman kerana SPRM melakukannya, apa yang wajar kita buat adalah mengambil tindakan susulan dengan menahan kerja berdasarkan pekeliling arahan kerajaan (Peraturan 43 Perturan Pegawai-Pegawai Awam), untuk pertama kali ni 2 bulan selepas dibebaskan dengan jamin SPRM kita akan tahan kerja 2 bulan kemudian kita tunggu SPRM proses kalau dipanggil perbicaran sekiranya ada itu kita buat proses lain,”kata beliau ,” katanya yang akur dengan penahanan 24 anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Dalam sidang media khasnya, Shahruddin turut menjelaskan bahawa penahanan kesemua anggota JPJ itu buat masa ini adalah untuk membantu siasatan yang masih belum diputuskan sama ada kesemua mereka bersalah atau sebaliknya.

Ujar beliau, 24 daripada 8,000 anggota JPJ negeri Pulau Pinang yang direman itu sama sekali tidak menggambarkan bahawa agensi itu tiada intergriti dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

“Tangkapan di Pulau Pinang ini sebahagian yang kita rasakan tidak bertanggungjawab tetapi bukanlah itu gambaran sebenar JPJ,” tambah beliau.

Ekoran penahanan ini, beliau telah mengarahkan JPJ di negeri-negeri Zon Utara untuk menghantar tenaga bantuan bagi memastikan operasi dan penguatkuasaan yang telah dirancang tidak terjejas.

“Saya minta Perak menghantar penguatkuasa kepada Pulau Pinang mengikut jumlah yang dperlukan. Saya mahu zon Utara beri bekerjasama. Kita tidak mahu penahanan 24 orang ini JPJ dilihat sebagai lumpuh, itu maksud saya,” tambahnya.

Semalam, Seramai 30 individu termasuk 24 anggota penguatkuasa JPJ direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang berhubung kes rasuah.

Perintah reman di keluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Nur Fadrina Zulkhairi di Mahkamah Majistret George Town pada Rabu.

Kesemua suspek yang dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu direman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan