Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kanan) diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia, gobind Singh Deo (dua kanan) melawat tapak pameran pada Majlis Perasmian Malaysia 5G Showcase di Kompleks Perbadanan Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 18 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Malaysia mampu memanfaatkan teknologi mudah alih generasi kelima atau 5G dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana kemudahan tersebut akan memberi kesan kepada industri penting dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, contohnya menerusi industri pembuatan pintar atau komunikasi jenis mesin secara besar-besaran, kerajaan berharap dapat menarik pelaburan tambah nilai tinggi, teknologi tinggi dan pengetahuan intensif dalam bidang lain.

”Bidang tersebut seperti aeroangkasa, bahan dan produk kimia, jentera dan peralatan, peralatan perubatan dan elektrik serta elektronik.

“Kira-kira 98.5 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana negara berada dalam sektor perkilangan.

“Justeru, sektor tersebut membolehkan Malaysia secara konsisten mempamerkan dinamik dan ketahanan untuk berkembang serta menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Pameran 5G Malaysia di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Mahathir menambah 5G juga boleh menjamin pendidikan berkualiti yang dapat tersebar luas di seluruh negara dengan menghubungkan kawasan luar bandar.

Jelas beliau, ini membolehkan pengajaran boleh bergerak melampaui ruang kelas sementara pelajar boleh menimba ilmu dalam pelbagai medium.

“Revolusi Industi 4.0 telah menjadi lebih penting buat kita untuk membangunkan kemahiran penting di kalangan rakyat Malaysia muda yang memerlukan bukan sahaja kemahiran yang didorong oleh data tetapi juga ketangkasan mental.

“Pendidikan dan pemahaman teknologi di kalangan pelajar tidak boleh menunggu.

“Ia perlu diberi penekanan dan dipromosikan sekarang. Ini kerana sejarah telah menunjukkan negara-negara yang bertindak balas dengan cepat terhadap gangguan dengan strategi sistematik dan koheren telah membawa menaikkan gelombang perubahan radikal kepada rakyatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan