NEW DELHI – Jet Airways telah menggantung semua penerbangan domestik dan antarabangsa buat sementara selepas gagal mendapat pembiayaan.

Syarikat itu berkata, penerbangan terakhirnya adalah pada hari Rabu kerana tidak mampu lagi membayar minyak dan perkhidmatan kritikal yang lain.

Menurut Jet Airways, syarikat itu tidak ada pilihan lagi kecuali menggantung semua penerbangan dan berharap dapat ‘terbang’ semula.

Syarikat penerbangan itu mempunyai hutang sebanyak AS$1.2 bilion dan telah berunding dengan beberapa peminjam sejak beberapa minggu lalu.

Dengan 123 buah pesawat, Jet Airways adalah syarikat penerbangan persendirian terbesar di India.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata, ia terpaksa menggantung semua penerbangannya kerana “usaha yang berpanjangan dan berterusan tidak membuahkan hasil”.

Kerajaan India telah meminta bank-bank yang dikendalikan oleh kerajaan untuk menyelamatkan syarikat penerbangan yang mempunyai 23,000 orang kakitangan.

Pengasas Jet Airways sejak lebih 25 tahun, Naresh Goyal telah meletak jawatan sebagai pengerusi bulan lepas

Juruterbang, jurutera, dan kakitangan di darat sudah tidak menerima gaji sejak berbulan-bulan.

Susulan penggantungan itu, para penumpang di seluruh dunia turut terkandas.

“Lewat malam tadi, Jet Airways dimaklumkan oleh Bank Negara India (SBI), bagi pihak konsortium peminjam India, bahawa mereka tidak dapat mempertimbangkan permintaannya untuk pembiayaan interim kritikal.

“Oleh kerana tidak ada dana kecemasan daripada pemberi pinjaman atau sumber lain , syarikat penerbangan itu tidak dapat membayar bahan bakar atau perkhidmatan kritikal lain untuk memastikan operasinya berjalan.

“Akibatnya, Jet Airways terpaksa membatalkan semua antarabangsanya dan penerbangan domestik serta-merta,” katanya.

Bank-bank sedang mencari pembida untuk Jet Airlines.

Etihad Airways memiliki 24 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan itu dan dilaporkan berminat untuk meningkatkan kawalan.

Jet Airways beroperasi 600 laluan domestik dan 380 antarabangsa termasuk London, Amsterdam dan Paris. – MlaaysiaGazette