KLIA

KUALA LUMPUR – Belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan penjenamaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada nama baru Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA).

Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, isu ini cuma pernah disebutkan dalam MMKN (Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri), setakat ini tiada apa-apa yang telah diputuskan.

“Perkara ini timbul kerana KLIA terletak di Sepang, Selangor. Lapangan terbang antarabanga yang terkenal sering menggunakan lokaliti sebagai namanya, contohnya adalah Narita/ Haneda di Tokyo, Incheon di Seoul, Suvarnabhuni di Bangkok, Baiyun di Guangzhou, Pudong di Shanghai, Schipol di Amsterdam dan sebagainya,” kata Ng seperti dilaporkan oleh Malaysiakini.

Beliau turut mengesahkan surat yang dibocorkan di media sosial itu merupakan minit mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor tetapi tidak mahu mengulas lebih lanjut.

Dalam surat itu, penjenamaan semula KLIA dibangkitkan oleh Exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana, Teng Chang Kim bagi mencerminkan kedudukan KLIA yang terletak di daerah Sepang.

“Keperluan ini adalah seiring dengan nama lapangan terbang antarabangsa di luar negara yang menggunakan lokaliti sebagai nama rasmi lapangan terbang tersebut.

“Sehubungan itu, cadangan nama yang dipersetujui oleh exco adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA),” menurut surat itu.

Menurut surat itu, Ng akan membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara. – MalaysiaGazette