ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia meneruskan momentum penurunannya pada sesi awal hari ini dengan dagangan kekal lemah, setakat ini.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.48 mata kepada 1,615.42, selepas dibuka susut 3.23 mata kepada 1,617.67.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 200 berbanding 112 manakala 200 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,384 lain tidak diniagakan dan 19 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 264.46 juta saham bernilai RM118.53 juta.

Sementara itu, Maybank Investment Bank menerusi nota penyelidikannya hari ini menyatakan aliran laporan negatif terbukti melemahkan selera pelabur walaupun pasaran ekuiti Malaysia dijangka menyaksikan aktiviti mencari saham berharga rendah dalam masa terdekat ini.

“Secara teknikalnya, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam lingkungan 1,610 dan 1,640 pada hari ini manakala paras susut pada 1,615 dan 1,600,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals untung satu sen kepada RM8.93, TNB naik empat sen kepada RM12.10, IHH Healthcare meningkat dua sen kepada RM5.55, Maybank bagaimanapun rugi 16 sen kepada RM8.84, Public Bank turun empat sen kepada RM22. 56 dan CIMB susut tiga sen kepada RM5.02.

Saham aktif menyaksikan Orion IXL untung satu sen kepada 18 sen, Macpie naik setengah sen kepada 17.5 sen, Vivocom dan Bumi Armada masing-masing tidak berubah pada dua sen dan 19 sen manakala Sapura Energy rugi satu sen kepada 31.5 sen dan Netx susut setengah sen kepada 1.5 sen.

Indeks FBM Emas berkurangan 36.57 mata kepada 11,435.01, Indeks FBMT 100 turun 36.89 mata kepada 11,267.52 manakala Indeks Ace FBM kehilangan 16.61 mata kepada 4,582.48.

Indeks FBM Emas Syariah turun 20.17 mata kepada 11,665.65 manakala FBM 70 susut 41.06 mata kepada 14,265.62.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 31.64 mata kepada 7,257.58, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 111.70 mata kepada 16,575.62 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.40 mata kepada 167.36. – MalaysiaGazette