KUALA LUMPUR – AmBank (M) Bhd (Ambank) yakin kerajaan tidak akan membiarkan isu seperti kemungkinan penurunan penarafan oleh penyedia indeks global FTSE Russell dan tindakan penarikan dana kekayaan Norway daripada bon kerajaan Malaysia, menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara ini.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, kebimbangan yang berkaitan dengan perkara itu sebagai bersifat spekulasi.

“Terdapat banyak perbincangan (mengenainya) tetapi ia cuma spekulasi pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran SME Biz Start Up-i antara Ambank dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, asas-asas negara ini juga kekal kukuh didorong oleh kestabilan pertumbuhan ekonomi dan harga komoditi.

“Jika anda rujuk unjuran pertumbuhan tahun ini, ianya kira-kira 4.2 peratus bagi separuh pertama dan 4.5 peratus pada separuh kedua. Itu (merupakan angka) kukuh.

“Kita juga mempunyai lebihan akaun semasa yang baik dan harga komoditi juga agak stabil…ini menjadikan (pasaran) kekal menarik bagi pelaburan,” katanya.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata kebimbangan mengenai laporan itu akan turut memberi kesan terhadap nilai ringgit berbanding dolar US.

Pada awal dagangan hari ini susulan kebimbangan baharu ekoran laporan membabitkan kemungkinan penurunan penarafan oleh FTSE Russell, semalam.

Sebelum ini, Norway berkata dana pelaburan negara itu akan bertindak memperkemas portfolio pendapatan tetapnya dengan mengurangkan hutang pasaran negara-negara sedang pesat membangun, termasuk sekuriti Malaysia daripada indeksnya. – MalaysiaGazette