Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga kanan) beramah mesra dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (tiga kiri) pada Majlis Kerjasama AirAsia dan KPDNHEP bagi menyokong kempen 'Beli Barang Malaysia' di RedQ, KLIA2, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2019.

SEPANG – Kerajaan memperhebatkan lagi usaha kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dalam usaha mempromosikan produk tempatan merentasi sempadan ruang udara.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) buat julung kali bekerjasama dengan syarikat AirAsia Berhad (AirAsia) untuk memperkenalkan produk usahawan tempatan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kolaborasi itu akan membuka ruang kepada usahawan tempatan yang dikenalpasti mengeluarkan produk yang mencapai kualiti dan standard yang ditetapkan syarikat penerbangan tambang murah itu.

Katanya, sebagai permulaan lapan produk berasaskan makanan terpilih akan dipromosikan dalam pesawat AirAsia.

“Produk-produk usahawan tempatan itu akan dikenalpasti kementerian dan akan diketengahkan melalui platform jenama milik AirAsia iaitu Santan dan T&C serta laman e-dagang syarikat itu, Ourshop dan Rokki.

“Selain lapan produk makanan, sebanyak 550 jenis produk hasil usahawan tempatan terpilih dan dikenalpasti akan ditawarkan melalui menu online dua outlet dalam talian itu tanpa caj penyenaraian dalam usaha memperluaskan produk tempatan.

“Walaupun kempen belilah barangan buatan Malaysia sudah berakhir beberapa tahun lepas, ia dihidupkan semula kali ini dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM20 juta berbanding RM3 juta sebelum ini akan digunakan untuk inisiatif dan idea baharu mempromosikan barangan buatan Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis AirAsia Menyokong Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia di ibu pejabat syairkat peberbangan itu, RedQ, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandez dan Timbalannya, Ireen Omar.

Menurut Saifuddin, kerajaan turut berperanan menasihati usahawan tentang pengeluaran dan kawalan kualiti produk selain memudahkan mereka memohon pelbagai lesen dan bijak menguruskan aduan.

Tambah Saifuddin, kerjasama dengan AirAsia akan membolehkan syarikat penerbangan itu menawarkan platform bagi membantu produk usahawan tempatan mengakses pelanggan di serata dunia.

“Sebelum ini usaha kementerian mempromosijan produk tempatan hanya tertmpu di daratan sahaja. Namun sekarang dengan kerjasama AirAsia kita alih perhatian ke pelanggan di udara dengan platform yang disediakan Air Asia,” ujarnya.

Sementara itu, Tony berharap usahawan tempatan terpilih menggunakan sebaik mungkin peluang pasaran yang luas itu dan mereka tidak perlu membayar caj penyenaraian sebam=nyak RM5000

“Saya rasa makanan santan Nasi Lemak dan Mee Hokkien Udang, antara menu pilihan utama pelanggan penerbangan kami di serata dunia termasuk di Filipina dan makanan segera buatan Malaysia akan jadi popular di luar negara.

“Kualitinya memang setanding dengan produk terkemuka dunia lain, dan produk-produk tempatan ini akan dipromosikan menerusi penerbangan kami di serata dunia termasuk setiap destinasi penerbangan Air Asia,” ujarnya.

Menurut beliau, produk santan yang hanya ditawarkan sebagai menu dalam pesawat diyakini mampu bertemu pelanggan di daratan seperti makanan segera terkemuka lain.

“Kita berhasrat membawa menu Santan nasi lemak dan lain lain ke lapangan yang lebih luas dan destinasi tumpuan dunia pada masa akan datang, menteri pun pernah membincangkan perkara itu dan harap jadi kenyataan suatu hari nanti,” katanya.- MalaysiaGazette