IPOH – Kerajaan negeri Perak tidak boleh mengubah sewenang-wenangnya penganjuran Pesta Songkran atau Festival Air yang merupakan program tahunan masyarakat Siam di Pengkalan Hulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, penganjuran program itu adalah satu daripada keunikan budaya serta tarikan pelancongan di kawasan yang terletak bersempadan dengan Betong, di wilayah Yala, selatan Thailand.

“Sebarang perkara atau elemen yang mencetuskan rasa tidak senang hati atau sensitif (dengan Pesta Songkran), kerajaan negeri akan cuba pantau atau minimumkan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Razman Zakaria (Pas-Semanggol) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Razman dalam soalannya ingin tahu apakah usaha yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap penganjuran Pesta Songkran yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Islam kerana dianggap melibatkan isu aqidah.

Semasa Pesta Songkran, orang ramai akan saling menyimbah air kerana masyarakat Siam percaya ia merupakan tanda peralihan ke kalendar baharu atau tahun baharu.

Selain itu, Tan (PKR-Simpang Pulai) berkata, Lapangan Terbang Betong yang dijangka beroperasi tahun depan akan memberi banyak impak positif kepada Pengkalan Hulu termasuk daripada segi kemasukan pelancongan asing. – Bernama