Aktivis ini yang tinggal berjuang bersama pucuk pimpinan ketika pemimpin negeri, bahagian dan MT menghilangkan diri.
Aktivis ini yang tinggal berjuang bersama pucuk pimpinan ketika pemimpin negeri, bahagian dan MT menghilangkan diri.

SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14, kita nampak UMNO begitu aktif sekali. Ketua-ketua Bahagian, Timbalan, Naib dan Ahli Jawatankuasa di seluruh negara sering berhimpun dan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mereka ketika itu nampak seia sekata dengan pucuk pimpinan, dan sering kali pula kedengaran suara lantang mereka menjerit atau melaung “setia di belakang pucuk pimpinan”, “berdiri teguh di belakang presiden” dan macam-macam laungan semangat serta keramat lagi.

Sekarang sudah 11 bulan PRU14 berlalu. Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun telah bertukar tangan secara tragis kepada Pakatah Harapan (PH).

Serentak itu pula, sebaik PH yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah, mereka mengheret seorang demi seorang pemimpin tertinggi UMNO ke mahkamah.

Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (sekadar sebut beberapa nama) diheret ke balai polis, ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat atas dakwaan dan tuduhan penyelewengan.

Saban hari di awal pemerintahan PH, kita lihat kediaman pemimpin UMNO itu diserbu anggota polis dan SPRM. Beratus-ratus juta wang tunai dan barangan berjenama dirampas, kononnya atas nama penggubahan wang haram.

Mereka kini sedang menunggu giliran untuk perbicaraan di mahkamah, dengan perbicaraan pertama dimulakan ke atas Najib seminggu yang lalu.

Sejak Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan penggantinya, Ahmad Zahid pula terpaksa mengambil cuti rehat daripada menguruskan organisasi parti, UMNO seperti sepi.

Tidak kedengaran lagi suara semangat dan keramat ratusan Ketua-ketua bahagian, Timbalan-timbalan bahagian, Naib-naib bahagian dan AJK-AJK bahagian.

Mereka hilang menyepi selepas parti dikenakan pelbagai tekanan oleh bekas presiden paling lama, Tun Dr. Mahathir.

Mungkin mereka ini mahu mengambil jalan selamat untuk menjaga periuk nasi, perniagaan dan projek, selain ada antaranya mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan apa yang bakal berlaku kepada UMNO.

Yang kelihatan masih setia membela dan menjaga parti daripada terus diperkotak-katikkan oleh musuhnya ialah Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Ahmad Maslan, Tan Sri Noh Omar, Khairy Jamaluddin, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Zahida Zarik Khan.

Yang jarang-jarang sekali menonjol pun tidak sedikit, cuma kemunculannya bermusim.

Lepas itu pahlawan-pahlawan UMNO yang sangat dibenci oleh sesetengah ahli UMNO dan warganet seperti Datuk Lokman Noor Adam, Wan Muhammad Azri atau Papagomo, Tun Faisal Ismail, Mohd Rafi Awang Kechik masih kekal setia bersama pucuk pimpinan sehingga kini.

Ternyata mereka ini bukan manusia tamak haloba kepada habuan ketika UMNO masih berkuasa seperti yang disangkakan. Mereka kekal setia walaupun parti dan pucuk kepimpinan berdepan dengan pelbagai ujian.

Di mana mereka yang selama ini meluap-luap tengok atau dengar nama-nama pahlawan UMNO ini? Di mana Ketua-ketua bahagian, timbalan, naib dan ahli jawatankuasanya ketika parti diuji?

Siapa yang berada di lobi mahkamah ketika Najib dan Ahmad Zahid diheret untuk dibicarakan kalau tidak Lokman, Papagomo, Mohd Rafi dan Tun Faisal. Di mana ketua-ketua yang selama ini diberi makan di tangan dan suap di mulut oleh pimpinan ini berada?

Di sinilah kita dapat menilai siapa mereka ini. Siapa dalam kalangan mereka yang hanya boleh dijadikan kawan ketika senang dan siapa dalam kalangan mereka yang boleh dijadikan kawan suka dan duka.

Selepas PRU14 juga, berapa kali Lokman, Mohd Rafi dan Papagomo berulang alik ke Balai Polis Dang Wangi untuk diambil keterangan? Ada kita dengar Ketua-ketua bahagian, Timbalan-timbalan bahagian, Naib-naib dan AJK UMNO Bahagian diheret ke balai polis dan SPRM?

Inilah UMNO, kebanyakan pemimpin negeri dan akar umbi ini hanya muncul ketika ada pemilihan sahaja. Bagi mereka merebut jawatan adalah matlamat perjuangan demi tembolok, bukan membela ketika pimpinan diuji.

Sepanjang 11 bulan PH mentadbir kerajaan Persekutuan, sebanyak lapan Pilihan Raya Kecil (PRK) telah diadakan berikutan kematian penyandang dan kes petisen mahkamah termasuk yang akan diadakan di Parlimen Sandakan Mei ini.

Dalam PRK itu, empat kerusi BN tewas, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong dan Parlimen Port Dickson, manakala tiga kerusi BN menang ialah Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan terbaharu, DUN Rantau.

Tiga kerusi dimenangi BN ini diketuai Tok Mat selepas Ahmad Zahid mengambil cuti rehat, dan muka-muka yang setia bersama pimpinan parti ialah mereka seperti yang disebut di awal artikel ini.

Malah, ada pemimpin UMNO yang dahulunya amat disegani dan dipandang hormat, rupanya tidak boleh dipercayai. Mereka tinggalkan UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Mereka dinamakan Enam Jahanam.

Ada seorang daripada enam jahanam ini, ketika memegang kuasa di peringkat Majlis Tertinggi (MT) dan negeri suatu ketika dahulu, telah mempengaruhi presiden terdahulu supaya mengugurkan enam Ketua Bahagian yang paling setia di Kelantan.

Sekarang siapa yang setia? Enam Ketua UMNO Bahagian yang dipecat atas nasihat pemimpin yang bijak berlakon imej baik ini atau pemimpin ini, yang meninggalkan parti ketika dalam ujian?

Mereka ini adalah pemimpin pengecut. Mereka tidak patut lagi diterima masuk ke dalam UMNO jika ditakdirkan suatu hari nanti UMNO bangkit dan menjadi parti terkuat seperti sebelum ini.

Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Biarkan mereka terkapai-kapai dan lemas di sungai yang mereka terjun itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan