Annuar Musa
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Walaupun menyifatkan ucapan ADUN Kemayan, Datuk Mohd Fadhil Osman sebagai pandangan peribadi, namun UMNO tetap mengeluarkan surat kepada wakil rakyatnya itu bagi mengelak kekeliruan yang sama berulang pada masa hadapan.

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan di sini.

Beliau turut mengingatkan wakil rakyat UMNO supaya menghormati dasar yang sudah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan tidak harus mempertikaikannya dalam bentuk yang memberi mesej yang salah dan mengelirukan.

“Diharapkan kekeliruan seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

‘Satu surat akan dihantar kepada YB ADUN KEMAYAN berhubung perkara berkaitan,” katanya.

Mohd Fadil semalam mendakwa pelajar daripada sekolah aliran Cina dan Tamil adalah seperti “orang asing” yang tidak boleh berbahasa Melayu.

Menurut Annuar, ibu pejabat parti memahami seseorang Ahli Dewan mempunyai kebebasan dan kekebalan tertentu untuk bersuara atau memberi pandangan mereka sewaktu dalam persidangan.

Namun, katanya, ucapan ADUN Kemayan itu adalah semata-mata pandangan peribadi beliau dan sama sekali bukan dasar parti.

“Perlu ditegaskan, kedudukan SRJKC dan SRJKT adalah sesuatu yang telah terjamin dalam Perlembagaan negara serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“UMNO dan BN akan tetap serta terus mempertahankan kedudukan SRJKC dan SRJKT,” katanya sambil berharap tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi kekeliruan berikutan kenyataan peribadi ADUN Kemayan tersebut.

 

Tinggalkan Jawapan