Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Apa cerita penganjuran forum pada 13 April tentang Malay Women and Dehijabbing (Wanita Melayu dan Membuka Tudung) dan pelancaran buku Unveiling Choice karangan Maryam Lee di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini?

Itu persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Ini kerana jelas empat hari selepas forum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa hanya mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat siasatan.

Tetapi sehingga hari ini, kata beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, belum ada apa-apa keputusan seolah-olah perkara ini dipandang remeh.

“Sekadar beri kenyataan ‘ambil serius’ sahaja tidak mencukupi jika tiada sebarang tindakan.

“Rakyat Malaysia sememangnya mengamalkan keharmonian sesama masyarakat dan menghormati sesama yang lain.

“Sebagai orang Islam, kita pun kagum dengan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern  baru-baru ini yang mengenakan tudung bagi menghormati keluarga mangsa Islam yang terbunuh di Christchurch, New Zealand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini turut mempersoalkan apa keperluan penganjur untuk mengadakan forum sedemikian.

Tegas beliau, mengapa perlu mencetuskan provokasi melalui penganjuran program yang penuh kontroversi itu.

“Dan mengapa perlu menjemput golongan murtad sebagai panelis program ini?

“Forum sebegini akan beri kesan pandangan yang buruk dan kekeliruan kepada golongan bukan Islam dan kepada mereka yang ingin ‘berhijrah’ untuk bertudung.

“Sepatutnya, perpaduan dan keharmonian sesama masyarakat diperkukuhkan. Bukannya menimbulkan kontroversi sebegini,” katanya.

Beliau berharap agar Menteri Agama berpendirian tegas bila isu-isu sebegini timbul dan bukannya berkanda-adinda sahaja. – MalaysiaGazette