Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri yang sangat berpengalaman memimpin negara.

Katanya, kebijaksanaan Mahathir menjadi Perdana Menteri selama beberapa penggal sebelum ini telah menaikkan nama negara di persada antarabangsa.

“Saya sangat menghormatinya dan saya tetap mengakuinya walaupun (Pas) sepanjang masa menjadi pembangkang,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Bagaimanapun, tegas Abdul Hadi, Mahathir ketika ini dibantu oleh jemaah menteri yang tidak boleh menolongnya.

“Lebih malang kalau ada yang seperti mahu menolak imam sebelum habis sembahyang, yang bukan boleh dibatalkan begitu sahaja, (tetapi dilihat) lebih parah lagi kalau terjadi seperti menebuk kapal dalam perjalanan,” katanya berkias.

Beliau memberi contoh kepada maksudnya jemaah menteri yang tidak boleh menolong seperti sekolah agama Islam dan Tabung Haji diserahkan atau dicampur urusannya oleh anasir bukan Islam yang tidak sepatutnya dilakukan.

Dengan kata lain, katanya, diberikan kepada golongan yang jahil berkenaan Islam sehingga tujuan dan matlamatnya tidak tercapai walaupun niatnya baik dan ikhlas.

“Kesudahannya jadi seperti lebai malang,” ujar Abdul Hadi.

Begitu juga, kata beliau, dalam urusan kewangan sama ada banyak duit dalam simpanan atau berhutang sebanyak-banyaknya, kalau salah urusnya jadilah boros seperti mencurah garam ke dalam laut yang sudah masin.

“Ini sama malangnya kalau tukang masak yang kemahirannya menggunakan senduk dan sudu ditugaskan dalam perkara senjata canggih mempertahankan negara.

“Manakala kerani yang pandai menulis sahaja disuruh menanam padi dan penghulu kampung ditugaskan menjaga bandar raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette