Indah Ruhaila kini popular dengan single terbaharu berjudul Pudar.

KUALA LUMPUR – Hampir dua tahun menyepi tanpa karya terbaharu, penyanyi wanita bersuara mantap, Indah Ruhaila kini muncul dengan dengan single terbaharunya berjudul Pudar.

Single terbaharunya ini turut diangkat sebagai salah satu lagu tema utama yang melatari drama bersiri Nur 2, sebuah karya susulan kepada drama bersiri Nur yang pernah mencetuskan fenomena pada tahun lepas apabila mencapai rating tertinggi sebanyak 13 juta tontonan di TV3.

Drama 15 episod lakonan pelakon-pelakon utama, Amyra Rosli dan Syafiq Kyle ini sedang bersiaran di slot Samarinda TV3 sejak 2 April lalu.

Sempena pelancaran video muzik rasmi Pudar baru-baru ini, Indah turut tampil dalam sebuah persembahan akustik istimewa yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.

Indah 1
Single terbaharu Indah Ruhaila turut diangkat sebagai salah satu lagu tema utama yang melatari drama bersiri Nur 2

Penonton disajikan dengan  persembahan akustik istimewa lima lagu diselangi dengan sesi soal jawab bersama penyanyi yang mesra disapa sebagai Indah ini dalam menyorot kembali sejarah kerjaya seninya.

Video muzik rasmi Pudar itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.

Pudar merupakan single pertama penyanyi bervokal mantap ini di di bawah naungan syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn. Bhd..

Kali terakhir graduan Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) ini menerbitkan single pada tahun 2017 menerusi lagu Kau Yang Satu’yang pernah menjadi lagu OST untuk sebuah filem dengan judul yang sama.

Sebelum ini, Indah pernah popular dengan lagu Percayalah yang membawanya ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 29 pada tahun 2015.

Indah juga popular dengan lagu hit Semua Untuk Cinta hasil ciptaan gandingan komposer hebat, Hael dan Ezra Kong yang dikeluarkan pada tahun 2016.   

Sementara itu, Pudar yang berentak balada ini merupakan ciptaan sepenuhnya penyanyi dan komposer berbakat Amylea Azizan yang turut bertindak sebagai penerbit rakaman bagi memberikan sentuhan magisnya menerusi susunan muzik yang digarap penuh dinamik.

indah 4
Indah Ruhaila pernah popular dengan lagu Percayalah yang membawanya ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 29 pada tahun 2015.

Disulam pula dengan bait-bait lirik yang mengangkat tema harapan yang disandarkan semakin menghilang, berjaya menambahkan lagi unsur melankolik ke dalam lagu ini.

Diberi pula jiwa menerusi nyanyian penuh penghayatan dalam setiap hela nafas vokal mantap Indah sekaligus melengkapkan lagi Pudar sebagai sebuah karya yang bakal menjentik hati pendengar.

Pudarsudah pun berjaya tersenarai dalam senarai Lagu Top Trending di pelantar striming muzik Joox.

Mengulas tentang sambutan memberangsangkan peminat muzik tempatan dan penonton drama Nur 2’ Indah berkata, dia terharu dengan reaksi positif semua pihak.

“Ternyata tidak silap taruhan saya kali ini. Saya bersyukur kerana mempunyai jodoh dengan lagu ini. Sebenarnya, lagu ini pernah ditawarkan kepada saya untuk dimuatkan dalam OST drama ‘Nur’ edisi pertama.

“Tetapi atas sebab kesihatan dan jadual yang tidak mengizinkan, saya terpaksa menolak. Namun sudah tertulis memang rezeki saya untuk mendendangkan lagu ini,” katanya.

Indah memberitahu, pertama kali mendengar lagu ini, dia cukup terusik dengan melodi dan liriknya.

Apatah lagi apabila diberitahu  Amylea bahawa lagu ini asalnya ditulis khas untuk watak Nur berdasarkan plot untuk edisi pertama drama tersebut.

“Saya berharap apa yang lagu ini cuba sampaikan, saya berjaya terjemahkan menerusi nyanyian saya. Sekiranya ada yang menyatakan nyanyian saya ini berjaya menyentuh hati mereka, alhamdulillah,” ulas Indah tentang komen peminat yang menyifatkan persembahannya dalam lagu Pudar ini berjaya meninggalkan kesan kepada pendengar.

Pudar kini ini boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes. – MalaysiaGazette