Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Tidak sampai lima jam berita mengenai RM10 juta untuk mengubah suai 1Malaysia 4 Youth (iM4U) yang dikendali kerajaan Barisan Nasional kepada Impact Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil menyalahkan media.

Menurut beliau, RM10 juta yang diperuntukkan tidak dibelanjakan untuk ‘rebranding’ (penjenamaan semula), namun dibelanjakan ke dalam bajet pengurusan, pembangunan dan geran bagi anak muda yang berkelayakan.

“Saya mahukan yang terbaik bagi semua lapisan anak muda. IMPACT MALAYSIA akan pastikan bahawa anak muda yang cakna teknologi boleh terus berkhidmat untuk menyelesaikan masalah-masalah di desa atau kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperuntukkan RM10 juta kepada Impact Malaysia yang memberi fokus kepada penyertaan sukarelawan yang lebih berinovasi.

Malah beliau berkata, iM4U perlu dilihat semula, setelah ia digunakan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui program “I love PM”.

Ahli Parlimen Muar itu turut berkata, perkara sama telah dibuat dalam FitMalaysia yang digerakkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Walalupun dikekalkan, tetapi penambahbaikan tetap boleh dibuat. Dahulu kos penganjuran RM1.3 juta kerana banyak melibatkan kontraktor luar, tetapi sekarang hanya RM300k selepas saya memberikan kepercayaan kepada penjawat awam dalam KBS untuk menganjurkannya sendiri,” katanya. -MalaysiaGazette