Seorang lelaki memakai mafla bertulis #Justice4ADIB pada Himpunan Aman "Keadilan Untukmu ADIB & Desakan Pecat P. Waytha Moorthy" di Dataran Seni, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 25 DISEMBER 2018.

SHAH ALAM – Setelah saksi ke-29 Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid selesai memberikan keterangan pada inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang masuk hari keenam, pegawai pengendali inkues itu memohon Mahkamah Koroner memanggil semula dua orang saksi.

Faten Hadni Khairuddin meminta mahkamah memanggil semula pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ahmad Hafizam Hasmi dan Datuk Dr Mohd Shah Mahmood.

Menurut Faten Hadni, ia bertujuan mengemukakan sanggahan terhadap teori Shahrom yang merupakan bekas Pakar Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan memberi penjelasan untuk membantu mahkamah mengetahui punca sebenar kematian allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

“Tujuannya rebuttal (sanggahan). Untuk menjelaskan, memandangkan pemeriksaan yang dilakukan patologi yang melakukan bedah siasat tidak mungkin berlaku dan wujudnya suatu dapatan sains terhadap mekanisme berlainan.

“Apa yang kami pohon untuk membantu mahkamah mencapai keputusan terhadap kes bagaimana kematian berlaku,” katanya.

Terdahulu, Shahrom berpendapat kecederaan Muhammad Adib yang menyebabkan beliau meninggal dunia berpunca daripada perbuatan manusia.

Namun permohonannya itu dibantah oleh peguam keluarga Muhammad Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab yang senada dengan Syazlin Mansor.

Syazlin, peguam yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpendirian tiada keperluan Hafizam dan Mohd Shah dipanggil semula kerana telah memberi keterangan penuh sebelum ini.

Tidak mengetahui jelas tujuan pegawai pengendali kes untuk memanggil semula kedua-dua saksi tersebut, maka Koroner Rofiah Mohammad mengarahkan permohonan dibuat mengikut proses penghujahan bantahan pada 22 April ini akan sebelum beliau membuat keputusan.

Sebelum ini keberadaan Hafizam bersama-sama pasukan Pendakwa Raya dipertikaikan Syazlin dan Kamaruzaman.

Peguam kementerian itu, Syazlin Mansor berkata, beliau melihat Hafizam pada prosiding yang lalu memberi cadangan soalan kepada pengendali kes untuk dikemukakan kepada Dr Shahrom.

Namun koroner selepas mempertimbangkan hujah Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menolak permohonan itu dan menganggap keberadaan Ahmad Hafizam sebagai pihak pakar yang terlibat dalam kes. – MalaysiaGazette