Aktivis dan Alumni FUU UKM, Asheeq Ali Sethi Alivi bercakap pada Bicara Persada Bertajuk Status Rome: Malaysia Ke Arah Mana di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 APRIL 2019

BANGI – Ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata, tindakannya untuk mendedahkan mengenai rumusan eksekutif kertas kerja Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan umum.

Katanya, adalah perlu untuknya mendedahkan isi kandungan kertas yang dibuat oleh empat ahli akademik yang dakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-Raja agar menolak Statut Rom.

“Sebagai seorang yang telah membaca kertas itu dan tidak setuju dengan kertas cadangan itu, kertas itu telah diberikan kepada saya dan saya perlu dedahkan kepada umum.

“Kalau tidak, saya pasti kerajaan sembunyikan perkara sebenar daripada pengetahuan umum, dua minggu lalu,” katanya ketika menjadi ahli panel panel Bicara Persada bertajuk ‘Statut Rom: Malaysia ke Arah Mana? di Persada Canseleri, Aras 2, Bangunan Pentadbiran, UKM Bangi hari ini.

Turut hadir memberikan pendapat masing-masing adalah pensyarah Fakulti Undang-undang UKM, Prof. Datin Dr. Faridah Jalil, Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra), Azril Mohd. Amin dan peguam, Khairul Azam Abdul Aziz.

Kata  Asheeq Ali, ia dilihat perlu bagi memastikan samada pembentangan keempat-empat pensyarah itu memberikan pendapat yang betul tentang Statut Rom.

“Matlamat utama saya dan rakan-rakan keluarkan kertas ini untuk kita teruskan perbincangan supaya kita boleh berdebat adakah hujah yang dibentangkan oleh empat pensyarah itu betul atau salah,” katanya lagi.

Pada awal bulan ini, Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, Profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),  Shamrahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi membuat perbentangan masing-masing kepada Majlis Raja-raja berhubung tindakan kerajaan PH menandantangani Statut Rom.

Empat penyarah itu mendakwa, ratifikasi Statut Rom akan menyebabkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh didakwa di Mahkamah Jenayah Antarbangsa atas peranan baginda sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera.

Menurut mereka, YDPA memegang tanggungjawab operasi sebagai pemerintah tertinggi tentera, melampaui peranan baginda sebagai ketua lambang atau kehormat.

Dokumen itu memberi beberapa contoh raja sebagai ketua negara yang boleh dipertanggungjawabkan atas jenayah perang.

Ini termasuklah Maharaja Wilhelm II Jerman dalam Perang Dunia 1 dan Maharaja Hirohito Jepun dalam Perang Dunia ke-2. -MalaysiaGazette