Parlimen
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipuji kerana disenaraikan oleh Time Magazine sebagai antara 100 manusia paling berpengaruh tahun lepas, satu pujian yang diberikan ekoran kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya umum pada Mei tahun lepas yang menyaksikan beliau kembali berkuasa.

Mengulas senarai yang dikeluarkan semalam itu, pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown menyifatkan negarawan berusia 93 tahun itu sebagai “kuda perang tua yang digeruni” semasa beliau berkempen dan kempennya juga menarik jumlah kehadiran yang amat besar.

Dr Mahathir yang banyak bergantung kepada nilai-nilai teras (dalam kempennya) telah berjaya menyatukan kumpulan-kumpulan pengundi dan beliau sebagai seorang yang telah berusia memberi keyakinkan kepada pengundi untuk memberikan kepercayaan kepada tokoh besar politik itu.

“Anda tidak semestinya muda untuk menentang pihak yang berkuasa. Lihat Dr Mahathir Mohamad sebagai contoh, bekas Perdana Menteri Malaysia itu yang telah keluar daripada persaraannya pada tahun lepas untuk mengkritik penggantinya (Datuk Seri) Najib Razak yang didakwa telah menyelewengkan berjuta-juta dolar Amerika dana syarikat pelaburan negara 1MDB.

“Melepaskan geram atas kepincangan moral itu, pemimpin yang sering dipanggil dengan nama Dr M itu kembali berkuasa selepas kemenangan besarnya dalam pilihan raya umum pada bulan Mei 2018 pada usia 92 tahun,” kata Rewcastle-Brown.

Beliau berkata Dr Mahathir telah berjanji akan menyerahkan kuasa kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, yang telah dibebaskan dari penjara beberapa hari selepas kemenangan itu.

“Bagi Malaysia, episod itu telah menghidupkan semula demokrasi dalam negara itu yang sebelumnya semakin condong kepada fahaman totalitarianisme (fahaman bahawa sistem pemerintahan sepatutnya membenarkan kewujudan satu parti sahaja),” tambah beliau.

Antara yang turut disenaraikan sebagai manusia paling berpengaruh oleh majalah itu ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.- BERNAMA