KUALA LUMPUR- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof. Datuk Aishah Bidin yang mendakwa kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak menghapuskan undang-undang drakonian meskipun telah menubuhkan dua jawatankuasa untuk melakukan kajian.

Undang-undang yang dimaksudkan adalah enam akta di bawah KDN iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMP).

KDN dalam satu kenyataan di sini hari ini menjelaskan, kementerian tersebut baru selesai menyediakan dua Rang Undang-Undang (RUU) iaitu pindaan APA dan SOSMA.

RUU bagi pindaan APA dan SOSMA dicadang untuk dibentangkan pada sesi Sidang Dewan Rakyat akan datang, katanya.

“Keputusan untuk meminda atau memansuhkan akta-akta ini perlu dibuat dengan teliti dan kajian yang mendalam supaya kepentingan keselamatan negara tidak terjejas,” katanya.

Tambah KDN, cadangan pindaan atau pemansuhan POCA, POTA, AMCP dan Akta Hasutan 1948 masih di peringkat perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan agensi-agensi lain yang berkaitan.

KDN sebelum ini telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kajian Undang-Undang dan Jawatankuasa Teknikal bagi mengkaji kesemua enam akta yang berada di bawah kementerian berkenaan.

Selain Jabatan Peguam Negara dan PDRM, kedua-dua jawatankuasa itu turut dianggotai Badan Peguam Malaysia, Suhakam, pengamal undang-undang dan ahli akademik.- MalaysiaGazette