Soh Chin Aun

MELAKA – Legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Malaysia menggunakan khidmat jurulatih dari Jepun dan Korea Selatan bagi membimbing skuad Harimau Malaya.

Beliau berpandangan pasukan bola sepak negara wajar mencontohi skuad Samurai Biru dan The Reds yang kini antara pasukan paling berjaya di Asia dengan pelbagai pencapaian termasuk layak beraksi di Kejohanan Piala Dunia FIFA.

Menurutnya pada satu ketika, Malaysia menjadi rujukan Jepun apabila mewujudkan liga semi-pro pada 1989 selama empat tahun sebelum memulakan liga profesional pada 1994, namun kini pasukan Samurai Biru jauh ke depan berbanding skuad negara.

“Bercakap mengenai barisan kejurulatihan… mengapa tidak kita cuba menggunakan kepakaran daripada Jepun dan Korea Selatan serta bagaimana mereka boleh melakar kejayaan sehingga mara ke pentas Piala Dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penganjuran bola sepak Perpaduan Tujuh Sebelah bawah 12 tahun, Piala Datuk Soh Chin Aun di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Turut hadir beberapa legenda bola sepak tanah air era 1980-an iaitu Datuk Shukor Salleh, Datuk Santokh Singh dan Datuk N. Thanabalan.Malaysia kini di kedudukan ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia yang menyertai kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 dan Piala Asia 2023.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Alor Gajah itu berkata khidmat jurulatih dari kedua-dua negara berkenaan adalah lebih baik berbanding Eropah yang pada pandangannya tidak begitu mementingkan prestasi skuad negara.“… selepas tiga tahun, mereka akan pulang (ke negara asal) dengan poket yang penuh,” katanya.

Mengenai program itu, beliau berkata ada penambahbaikan dari segi saingan yang dibuka kepada 40 pasukan berbanding hanya 32 sebelum ini.

Katanya kejohanan yang akan berlangsung pada 27 April ini di Stadium Hang Tuah di sini bertujuan mencari bakat di peringkat akar umbi merentasi kaum.

“Kita nak bola sepak kita macam dulu, ramai pemain dalam kalangan bangsa Cina dan India memandangkan ramai bertanya kesukaran mendapatkan pemain terbabit ketika ini,” katanya.- BERNAMA

Tinggalkan Jawapan