Noraini Ahmad
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Penjenamaan semula yang sedang dirangka oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.

Ketika rakyat sedang resah bergelut dengan kemerosotan ekonomi, kerajaan PH sibuk merancang menjenamakan semula inisiatif, organisasi dan juga infrastruktur yang telah diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, penjenamaan semula itu memberi implikasi negatif kepada kewangan negara di mana setiap penjenamaan semula melibatkan kos jutaan ringgit.

“Sebagai contoh, penjenamaan semula 1M4U kepada “Impact Malaysia” menelan belanja kira-kira RM10 juta ringgit.

“Peruntukan sebanyak itu sepatutnya diguna untuk merencanakan pembangunan anak-anak muda melalui platform kesukarelawan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noraini, peruntukan RM10 juta itu juga boleh digunakan untuk meneliti semula aspek pengisian dan hala tuju program melibatkan para belia yang sedia ada.

“Di mana realistiknya “negara dibebani hutang yang besar” seperti yang dimomokkan sebelum ini sedangkan kerajaan mampu berbelanja besar untuk penjenamaan semula?

“Daripada ‘melabur’ untuk menjenamakan semula, lebih baik Kerajaan PH memikirkan kaedah menangani isu ekonomi asas rakyat seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan walaupun cukai barang dan perkhidmatan (GST) telah lama dihapuskan,” ujarnya.

Menurut Noraini, sejak PH mentadbir negara, banyak peruntukan kerajaan bagi program pembangunan telah dikurangkan dan mengakibatkan kehidupan rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar terjejas.- MalaysiaGazette