Seorang krew kabin syarikat penerbangan Israel, El Al berada dalam keadaan koma selepas jatuh sakit akibat demam campak semasa dalam penerbangan dari New York ke Tel Aviv.

TEL AVIV- eorang krew kabin syarikat penerbangan Israel, El Al berada dalam keadaan koma selepas jatuh sakit akibat demam campak semasa dalam penerbangan dari New York ke Tel Aviv.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Israel, Eyal Basson wanita berusia 43 tahun itu menderita akibat komplikasi demam campak iaitu bengkak otak.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berkata, keadaan itu berlaku terhadap satu daripada 1,000 orang yang mendapat virus campak.

Bagaimanapun, ia lebih mudah berlaku kepada kanak-kanak berusia kurang lima tahun atau orang dewasa berusia lebih 20 tahun.

Ia boleh menyebabkan kerosakan otak kekal, pekak atau kematian.

Dengan itu, kementerian kesihatan memberi amaran kepada semua penumpang El Al 002 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy di New York pada 26 Mac lalu dan mendarat di Israel sehari kemudian mendapatkan rawatan selanjutnya sekiranya ada mengalami demam.

Demam merupakan antara petunjuk awal dijangkiti penyakit berkenaan.

Antara simptom lain termasuklah hidung berair, batuk, sakit mata, sensitif terhadap cahaya serta ruam berwarna merah pekat.

Simptom-simptom berkenaan biasanya muncul selepas 10 hingga 14 hari terdedah kepada virus tersebut.- MalaysiaGazette