Zuraida
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, untuk meneruskan projek pembangunan Bandar Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, keputusan kerajaan untuk menempatkan 10,000 rumah mampu milik di dalam kawasan itu merupakan satu langkah yang amat baik dengan mengambil kira bahawa lokasi tersebut adalah kawasan hartanah yang bernilai tinggi.

“Jika sebelum ini pembangunan untuk perumahan mampu milik, golongan B40 dan Lower M40 (berpendapatan RM 5,000.00 ke bawah) adalah disasarkan di kawasan luar dan pinggiran bandar, komitmen kerajaan kini dapat dilihat dengan membuka ruang kepada golongan ini untuk terus bermastautin di kawasan bandar dan bandaraya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida, naratif baharu yang diketengahkan oleh kerajaan kini adalah untuk memastikan golongan B40, lower M40 dan golongan berpendapatan rendah tidak didiskriminasikan secara ekonomi dengan meletakkan tempat tinggal mereka hanya di kawasan yang jauh dari pembangunan dan juga tidak mempunyai fasiliti yang secukupnya.

Pembangunan Bandar Malaysia dan inisiatif perumahan mampu milik kawasan bandar turut akan dapat mengurangkan kos pengangkutan golongan berpendapatan rendah yang bekerja di bandar.

Setiap pelan pembangunan, terutamanya dalam pembinaan kediaman perlu bersifat holistik, dengan mengambil kira perkembangan komuniti, supaya perancangan yang ingin dilaksanakan tanpa mengenepikan mana-mana golongan masyarakat, katanya.

KPKT yakin bahawa dengan mengambil kira aspirasi golongan B40 dan Lower M40 ini, Malaysia akan dapat mengecapi pembangunan perumahan yang mampan dan juga menyeluruh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/19/projek-bandar-malaysia-diteruskan-pm/