Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
JOHOR BAHRU – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menitahkan pihak berkuasa agar mempertingkat serta memperketatkan rondaan di sekitar perairan Johor bagi mengelakkan pembuangan sisa minyak kapal yang mengakibatkan pencemaran laut.
Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebook rasmi baginda bertitah tindakan berkenaan perlu kerana kegiatan tersebut akan memberi pelbagai kesan negatif kepada laut dan juga hidupan marin selain turut menjejaskan pendapatan golongan nelayan.
“Pihak berkuasa perlu mempertingkatkan rondaan bagi mencegah aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki kerana ia akan memberi pelbagai kesan negatif,” titah baginda yang merujuk kepada kejadian tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di Kota Tinggi baru-baru ini.
Sultan Ibrahim turut bertitah agar pihak berkuasa mengenakan tindakan serta hukuman berat terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan itu.
Media baru-baru ini melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tompokan tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin sepanjang kira-kira 10 kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.