Tesla logo
Barisan ahli lembaga pengarah Tesla Inc akan dikurangkan kepada 7 berbanding 11 ketika ini.

NEW YORK – Empat daripada 11 ahli lembaga pengarah Tesla Inc akan meninggalkan syarikat tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ini susulan daripada keputusan syarikat kereta elektrik itu untuk mengecilkan jumlah ahli lembaga pengarahnya.

Brad Buss, Antonio Gracias, Stephen Jurvetson dan Linda Johnson Rice tidak akan bertanding pada pemilihan sempena mesyuarat agung tahunan pemegang saham 2019 dan 2020, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada badan kawal selia pada Jumaat.

Menurut syarikat berkenaan, pengarah-pengarahnya menyemak semula komposisi lembaga dengan memberi fokus kepada pengecilan saiz untuk membolehkan mereka beroperasi dengan cekap dan berkesan.

Menurut Tesla, keputusan tersebut diambil bukan kerana ketidaksefahaman di antara syarikat dan pengarah-pengarahnya.

Dua daripada empat ahli lembaga pengarah yang bakal meninggalkan syarikat, Buss dan Gracias merupakan ahli jawatankuasa kawalan pendedahan Tesla yang memantau pelaksanaan terma perjanjian di antara Tesla dan SEC.

Buss juga merupakan ketua pegawai kewangan pemasang panel solar, SolarCity bagi tempoh dua tahun sebelum bersara pada 2016.

Tesla telah membeli SolarCity pada tahun berkenaan.

Gracias pula merupakan pengarah bebas Tesla sejak 2010. Mei lalu penasihat proksi ISS mencadangkan pelabur mengundi bagi menentang pemilihan beliau ke dalam lembaga pengarah dan memanggil beliau pengarah bukan bebas.

Cadangan untuk mengecilkan saiz lembaga pengarah itu timbul beberapa munggu selepas kedudukan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk selamat apabila hakim persekutuan menggesa bilionair tersebut menyelesaikan dakwaan menghina oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Saham AS terhadap hantaran di Twitter beliau.- MalaysiaGazette