Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan sebahagian penerima-penerima anugerah cemerlang pada Majlis Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) bagi Orang Buta dan Cacat Penglihatan 2017/2018 di Auditorium Hospital Mata Tun Hussein, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 20 APRIL 2019

PETALING JAYA – Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail teruja dengan persembahan dua pemuda cacat penglihatan yang mendendangkan lagu inggeris bertajuk You Mean Everything For Me hari ini.

Kedua-dua lelaki OKU terbabit, Muhammmad Dinie Abdul Rashid, 27 dan Khairil Azreen Mohd, Jasni, 26, merupakan pemuda yang berbakat dalam membuat persembahan dan setanding dengan berpengalaman.

Timbalan Perdana Menteri itu ceria selepas lagu berbahasa Inggeris itu merupakan lagu kegemarannya.

“Saya terharu dengan lagu yang dinyanyikan dua pemuda ini, kerana lagu kegemaran saya tidaklah banyak sangat.

“Inilah lagu You Mean Everything To Me yang satu satunya lagu Inggeris yang sentiasa menjadi kegemaran saya baik sejak zaman remaja sehingga kini,” katanya di majlis Penyampaian Anugerah Pencapaian Cemerlang Orang Kurang Upaya dari segi penglihatan 2017/2018 di sini.

Ahli Parlimen Pandan itu sempat bangun dari tempat duduk sejurus selepas lagu itu dinyanyikan menuju ke arah dua pemuda itu dan menyerahkan kad namanya untuk dibaca dengan kemahiran braille.

“Saya memberikan kad saya kepada mereka sebagai penghargaan terhadap kemahiran dan bakat nyanyi mereka sebentar tadi yang menyebabkan saya terharu sangat.

“Kerajaan akan terus melindungi hak dan kebajikan OKU termasuk orang cacat penglihatan dan kita sebagai manusia yang sempurna perlu bersyukur dengan seadanya kehidupan yang diberikan tuhan.

“Kita juga mempunyai tanggungjawab penting untuk mendampingi dan membantu orang kelainan upaya sebegini demi kesejahteraan bersama,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette