Sebuah gereja di Sri Lanka rosak teruk selepas dibom. foto Agensi

COLOMBO – Sekurang-kurangnya 137 orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera dalam letupan di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka.

Sebanyak enam letupan dilaporkan berlaku – tiga di gereja Kochchikade, Negombo dan Batticaloa yang sasarkan semasa sambutan Easter.

Hotel Shangri La, Cinnamon Grand dan Kingsbury hotels di Colombo turut dibom.

bom2
Anggota polis mengawal di luar kawasan sebuah gereja selepas tiga gereja dibom di Sri Lanka. foto Agensi

Easter Sunday merupakan sambutan utama dalam kalender Kristian.

Antara yang terkorban di Colombo termasuk sembilan warga asing, sumber hospital memberitahu.

Reuters memetik sumber polis yang memaklumkan lebih daripada 50 orang maut di Negombo manakala sumber hospital di Batticaloa berkata, 27 orang mati di sana.

Sementara itu, seorang mati dalam serangan di Cinnamon Grand yang terletak berhampiran dengan kediaman perdana menteri.

Presiden Maithripala Sirisena dalam satu kenyataan meminta orang ramai bertenang dan memberi sokongan kepada siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe yang mempengerusikan mesyuarat kecemasan mengutuk tindakan yang didakwa sebagai serangan pengecut.

“Saya meminta semua rakyat Sri Lanka kekal bersatu dan kuat dalam menghadapi saat-saat tragis ini,” katanya.

Setakat ini belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab. – MalaysiaGazette