Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan kini mengakui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan satu projek negara yang menguntungkan dan memainkan peranan penting membangunkan negara.

Ia susulan kenyataan Perdana Menteri yang berkata Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion boleh membantu menaikkan mata wang serta membangunkan negara.

Malah, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula mengakui projek TRX bernilai RM40 bilion merupakan salah satu usaha terbaik negara.

“Ini bermakna, PH telah mengesahkan bahawa 1MDB bukanlah punca yang menyebabkan Malaysia muflis atau membebankan generasi akan datang,” kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tambahnya, kedua-dua projek yang bernilai RM180 bilion itu adalah projek 1MDB.

Presiden MCA itu berkata, jumlah kedua-dua projek tersebut juga lebih daripada mencukupi untuk menampung beban hutang 1MDB sebanyak RM30 bilion.

Lantaran itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) tidak lagi boleh menggunakan 1MDB sebagai alasan untuk tidak menunaikan janji manifesto mereka.

“Walaupun PH telah berbohong kepada orang ramai dengan menggunakan 1MDB sebagai alasan utama mereka selama bertahun-tahun, dengan berita mengenai Bandar Malaysia dan TRX ini, rakyat Malaysia berharap PH tidak lagi berbohong,” katanya. – MalaysiaGazette