Seorang tentera Sudan memeriksa sebahagian wang tunai yang ditemui di kediaman Omar al Bashir. foto Agensi

KHARTOUM – Berkarung-karung wang tunai ditemui di kediaman Presiden Omar al-Bashir dan beliau kini disiasat di bawah kesalahan penggubahan wang haram.

Pihak keselamatan menemui mata wang euro, dolar dan pound Sudan berjumlah lebih daripada AS$130 juta.

Pemimpin Sudan yang disingkirkan itu kini dikenakan tahanan dalam rumah selepas tunjuk perasaan diadakan secara besar-besaran oleh rakyat negara tersebut, mendesak penyingkirannya.

Ada laporan yang mendakwa Bashir kini ditahan di penjara dengan keselamatan tinggi di Kobar.

Sumber kehakiman Sudan memberitahu Reuters, sejumlah wang tunai berjumlah lebih daripada AS$351,000 ditemui dalam beg dan 5 bilion pound Sudan (kira-kira AS$105 juta) ditemui dalam kediaman Bashir.

Reuter memberitahu, sumber berkenaan turut mengesahkan Bashir disiasat dan akan disoal siasat oleh pendakwa raya di Penjara Kobar.

Sementara itu, Radio Dabanga mendakwa, duit-duit tersebut diisi di dalam beg-beg yang direka untuk mengisi 50 kilogram bijirin.

Pada hari Sabtu, Peguan Negara Sudan berkata, satu jawatanakuasa baharu akan ditubuhkan untuk menyiasat anti-rasuah.

Tentera Sudan menyingkirkan Bashir pada 11 April lalu tetapi penunjuk perasaan yang diketuai oleh Persatuan Profesional Sudan berikrar untuk meneruskan protes sehingga wujud pemerintahan awam di negara ini.

Bashir telah memerintah Sudan hampir 30 tahun dan dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah perang di wilayah barat Darfur.

Namun, tentera Sudan tidak akan ekstradisi beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sudan pun sama je tempat kita . mungkin duit parti tu simpan kat rumah dia. parti kena buat tuntutan lah segera. boleh selamat Presiden mereka

Comments are closed.