Mohd. Radzi. Md. Jidin
Mohd. Radzi. Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat pelajar Bumiputera dan 10 peratus kepada bukan Bumiputera dalam Program Matrikulasi.

Pengekalan dasar itu selaras dengan matlamat asal program itu untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd. Radzi. Md. Jidin yakin isu pelajar India yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia tetapi gagal mengikuti program itu akan diselesaikan dengan baik oleh Kementerian Pendidikan.

Ini kerana, katanya, secara prinsip mana-mana pelajar yang berkelayakan serta memenuhi syarat-syarat wajar diberikan tempat untuk mengikuti pengajian.

“Bersatu memahami hakikat bahawa lebih ramai pelajar memperoleh keputusan SPM yang cemerlang, persaingan untuk mengikuti Program Matrikulasi menjadi semakin sengit.

“Tambahan pula dasar kerajaan memberikan keutamaan kepada pelajar cemerlang daripada keluarga B40, akan terdapat pelajar cemerlang SPM daripada keluarga bukan B40 yang tidak mendapat tawaran ke Program Matrikulasi.

“Justeru, alternatif lebih baik perlu disediakan kepada pelajar cemerlang ini,” katanya yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Radzi, parti itu menyokong penuh usaha kementerian untuk meningkatkan imej dan mutu Kolej Tingkatan 6 di seluruh negara sebagai alternatif terbaik kepada pelajar cemerlang SPM untuk mengikuti pengajian prauniversiti, selain program matrikulasi. – MalaysiaGazette