KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Johor menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menunaikan segala janji dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan PH sepatutnya berasa malu kerana berani berjanji bulan dan bintang, namun tidak pula bersedia menunaikannya.

“Lebih kurang dua minggu lagi genaplah setahun PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 yang lalu, tetapi masih gagal menunaikan janji mereka.

“Masih lagi gagal menunjukkan sesuatu kepada rakyat. Masih gagal memberikan kepuasan hati kepada rakyat. Jelas bahawa kerajaan Pakatan Haprak ini adalah kerajaan yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, keangkuhan PH boleh dilihat melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan PH tidak perlu meminta maaf ekoran gagal memenuhi janji 100 hari dalam manifesto mereka.

“Perkara ini membuktikan mereka tidak pernah rasa bersalah kerana gagal tunaikan janji.

“Apatah lagi, para menteri PH yang lebih dikenali sebagai menteri ‘rebrand’ kerana terlalu kerap menjenamakan semula projek kerajaan Barisan Nasional yang sebelum ini mereka maki, caci dan memaksa kerajaan BN untuk tidak melaksanakannya.

“Rakyat jelas melihat kerajaan hari ini hanyalah pandai menabur janji dan manis mulut bila berbicara,” katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan agar rakyat mendesak PH agar segera menuntut hak mereka sebagaimana yang dijanjikan pada PRU14 lalu.

“Mana janji kurangkan kos sara hidup rakyat? Mana janji hendak bantu turunkan harga minyak? Mana janji tidak bebankan rakyat? Mana janji pendidikan percuma di institusi pendidikan? Ianya hanyalah dongeng semata-mata tanpa pelaksanaan.

“Kerajaan yang tidak ada pengalaman ini apabila menjadi kerajaan, tak tahu selok-belok pentadbiran ingat semua benda terlalu senang nak buat, hari ini jadi kerajaan esok terus boleh dilaksanakan. Baru mereka tahu mereka semua adalah munafik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette