KUALA LUMPUR – MIC membuat laporan polis terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung penempatan bagi 2,200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia kaum India yang didakwa diberikan secara ‘one-off’ oleh kerajaan Barisan Nasional.

Laporan polis itu dibuat oleh Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja di Balai Polis Brickfiels sebentar tadi.

Dalam laporannya, Raja mempersoalkan bagaimana Maszlee boleh berbohong tentang tawaran tempat yang diberikan kepada pelajar India sejak 2012.

“Sejak 2012, seramai 1,500 pelajar India ditawarkan dalam Program Matrikulasi sebelum dinaikkan pada tahun lepas sebanyak 700 lagi namun menurut Maszlee ianya ‘one off’ oleh kerajaan BN,” katanya.

Raja yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang mendakwa Maszlee telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 167, yang mana membuat satu dokumen palsu dengan niat untuk menipu serta melempar fitnah pada kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, Pemuda MIC Kebangsaan yang diterajui oleh ketuanya, Thinalan Rajagopalu berkata, penjelasan Maslzee berhubung tawaran matrikulasi kepada bukan bumiputera merupakan satu bentuk ancaman kepada para pelajar SPM yang cemerlang.

Thinalan berkata, Pemuda MIC akan mula membuat laporan polis seluruh negara bermula esok ekoran keengganan kerajaan mendedahkan status sebenar kemasukan penuntut India dalam Program Matrikulasi.

Beliau mendakwa Maszlee pernah mengumumkan keputusan Jemaah Menteri bertarikh 30 Mei 2018 tentang penawaran khas kemasukan 1,000 orang pelajar Cina ke Program Matrikulasi bagi kumpulan B40 sebagai satu hadiah kerajaan PH bagi tahun 2018 dan 2019.

Soalnya, dari manakah beliau mendapatkan penempatan ini jika sistem kuota dan kriteria kemasukan ke program matrikulasi KPM tidak diambil kira.

“Adakah pelajar cemerlang India daripada golongan B40 diabaikan begitu sahaja?,” soal Thinalan. – MalaysiaGazette

Jangan main tabur perkataan ‘one off’ Maszlee, nanti PH pun ‘one off’ – Najib

 

Kalau betul one-off, sila dedahkan maklumat kemasukan matrikulasi tahun ini

Tinggalkan Jawapan