Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menukar nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (SIA) bukan murah kecuali kerajaan sanggup mengeluarkan belanja besar.

Kos yang perlu dikeluarkan mungkin mencapai nilai bilion.

Ini kerana, pertukaran nama itu akan membabitkan perubahan dalam keseluruhan sistem yang diperuntukan dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Pun begitu, kelulusan untuk menukar nama KLIA bukan terletak di tangan kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada ICAO.

Sumber yang terlibat secara langsung dalam sistem operasi KLIA berkata, kerajaan perlu memperuntukan kos minimum sebanyak AS$200 juta untuk menukar nama lama kepada baharu.

“Jumlah itu merupakan kos yang dibelanjakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) semasa membangunkan sistem klia2 enam tahun lalu dan angka itu mungkin lebih jika ia dilaksanakan pada masa ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sumber itu memberitahu, perubahan yang perlu dilakukan jika nama KLIA ditukar kepada Sepang International Airport (SIA) membabitkan semua sistem kawalan berlepas, semua sistem masa berasaskan kepada lokasi dalam penerbangan, semua sistem dalam Sistem Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, semua sistem penerbangan dan semua sistem pengendali lapangan terbang.

Selain itu, perubahan perlu dilakukan dalam semua syarikat penerbangan yang mempunyai kod digital KUL (KLIA – membabitkan sistem masa lokasi 8 jam dari GMT dan 8 jam UTC) di semua sistem di seluruh dunia.

Meskipun begitu, kod KUL akan tetap dikekalkan dan ia tidak ada pilihan untuk menukar rujukan KUL dan begitu juga dengan pertukaran SIA dengan SIA yang baharu.

Ini disebabkan kod SIA sudah digunakan oleh Lapangan Terbang Xiguan, China dan sudah didaftar dengan semua rujukan.

“Selain itu, jika KLIA hendak ditukar kepada SIA, kita juga perlu menukar semua sekali sistem rujukan elektronik untuk bagasi.

“Ini juga membabitkan sistem semua kapal terbang yang aktif di dunia kerana ia terbabit dalam operasi penerbangan.

“Ini baru bahagian pesawat sahaja, sedang ada 1001 sistem di dunia yang perlu ditukar secara manual. Mana ada pilihan untuk menggunakan Windows, kecuali kod sahaja, itu pun kadar yang dikenakan adalah AS$300 sejam.

Menurut sumber lagi, ICAO mempunyai metodologi untuk menamakan lapangan terbang.

Contohnya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur yang pertama adalah di Simpang Sungai Besi dan kemudian dipindahkan ke Subang dan selepas itu Sepang.

Katanya, apabila Sungai Besai bukan lagi Lapangan Terbang Kuala Lumpur maka kodnya diubah. Begitu juga dengan Lapangan Terbang Subang yang kini menggunakan kod SZB/WMSB.

Ditanya benarkah pemilihan nama lapangan terbang dibuat berdasarkan lokasi, sumber itu berkata, kod tiga huruf akan ditentukan terlebih dahulu bagi memastikan ia unik dan tidak digunakan oleh mana-mana entiti lain.

Kod berkenaan boleh diberikan berdasarkan nama lapangan terbang, nama bandar, atau sebarang perkara yang bermakna dan relevan.

Kata sumber itu lagi, tidak ada dua lapangan terbang yang berkongsi kod IATA yang sama.

Baru-bari ini tular tentang cadangan penukaran nama KLIA kepada SIA yang terkandung dalam minit mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir yang mengulas isu itu berkata, tiada keperluan untuk menukar nama KLIA kepada SIA.

Katanya, cadangan untuk menukar nama KLIA yang sudah dikenali umum itu dilihat tidak bersesuaian dengan imej Malaysia di mata dunia. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ingatkan tukar nama KLIA tu senang jer….macam tukar papan tanda nama kedai !. Kalau belanja besar, rakyat kata tak payah tukarlah…… Kalau nak tukar juga buat lapangan terbang baru dengan nama baru.

Comments are closed.