Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Red Deck di RedQ Air Asia Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2019

SEPANG – AirAsia Bhd. bakal mengembangkan perniagaannya dalam bidang digital ke negara-negara lain.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebahagian rancangan itu akan dilaksanakan menerusi penggabungan dan pengambilan alih (M&A) dan sebahagian lagi akan dibuat melalui usahasama.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mengenai negara yang disasarkan bagi pengembangan perniagaan baharunya itu, Tony berkata, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk sebuah syarikat penerbangan menceburi perniagaan digital.

“Kami sangat teruja untuk menjadikan AirAsia sebagai sebuah syarikat yang lebih daripada sekadar sebuah syarikat penerbangan.

“Ia tidak pernah dilakukan lagi sebelum ini tetapi seperti biasa, sebelum ini pun tiada siapa yang percaya empat budak muzik boleh memulakan perniagaan dalam bidang penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan RedDeck di sini hari ini.

MGF22042019_Pelancaran Red Deck_08
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Red Deck di RedQ Air Asia Sepang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2019

RedDeck adalah kawasan atas bumbung ibu pejabat AirAsia yang ditukar menjadi lapangan gaya hidup untuk kegunaan kakitangan beriadah dan bersantai.

Tambah Tony, sejak beberapa tahun lalu beliau sudah menyatakan hasratnya untuk meningkatkan pendapatan sampingan (ancillary income) kepada kumpulan.

Katanya, setakat ini pendapatan sampingan merangkumi 25 peratus daripada pendapatan kumpulan dan dijangka perniagaan digital akan memberikan sumbangan lebih besar selepas ini.

Baru-baru ini, AirAsia mengumumkan laman webnya, AirAsia.com akan menjalankan perniagaan tempahan hotel dan sebagainya.

Ia sebelum ini hanya berfungsi sebagai platform pembelian tiket penerbangan syarikat tersebut secara dalam talian.

Sebelum pengumuman tersebut, AirAsia juga menarik diri daripada laman web tempahan perjalanan, Traveloka.-MalaysiaGazette