Antara dokumen dan bahan bukti yang dibawa pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Bahagian UMNO Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib mendedahkan beliau mendapat dana sebanyak RM50,000 dalam bentuk cek pada tahun 2013.

Kata Asmadi, beliau memperoleh wang tersebut setelah mengadakan pertemuan dengan Najib yang ketika itu  merupakan Presiden UMNO.

Jelas Asmadi, pihaknya (UMNO Padang Serai) menghadapi pelbagai kekangan kewangan bagi meneruskan program parti di kawasan itu dan Najib yang mendengar keluhan itu memberikan dana tersebut.

Asmadi juga berkata, pihaknya tidak pernah mendapat sebarang bantuan langsung daripada Menteri Besar Kedah merangkap Ketua Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sepanjang beliau menjawat jawatan itu.

Beliau juga menafikan pernah menerima bantuan dana untuk kawasan daripada mantan Presiden UMNO terdahulu seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi mahupun Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Dalam satu pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC, saya ceritakan antara permasalahan serta kekangan kami menganjurkan program untuk parti termasuk kekangan masa, tenaga dan kewangan yang kami hadapi dalam mengadakan program.

“Saya juga tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada Menteri Besar Kedah pada masa itu yang juga merupakan Ketua Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Cek berkenaan adalah atas nama saya dan saya masukkan ke dalam akaun saya. Namun jumlah itu saya umumkan kepada semua Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian.

“Walaupun UMNO Bahagian Padang Serai mempunyai akuan bank, saya tidak masukan ke dalam akuan tersebut sebalik ke dalam akuan saya sendiri kerana seandainya dalam akuan rasmi itu, maka ianya perlu di audit oleh auditor dan dibentangkan dalam mesyuarat.

“Bagaimanapun, sekiranya di masukan ke akuan peribadi saya hanya perlu memberitahu jawatankuasa UMNO bahagian sahaja dan program-program itu dijalankan,” katanya ketika sesi soal jawab perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Pada pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee, Asmadi memberitahu wang tersebut digunakan untuk program kemasyarakatan seperti membiayai kelas tambahan murid sekolah, sumbangan kepada orang sakit dan lain-lain aktiviti berkaitan dengan keperluan masyarakat setempat Kedah.

“Saya tidak pernah meminta beliau jumlah yang diperlukan sebaliknya Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memutuskan jumlah RM50,000 pada masa itu,” ujarnya. –MalaysiaGazette