Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Xavier Jayakuma (tengah) beramah mesra dengan sebagian penerima anugerah pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli 2018 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 22 APRIL 2019.

BANGI – Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, catuan air pada 24 April ini perlu dibuat ekoran penutupan bekalan air di tujuh kawasan utama termasuk Kuala Lumpur.

Ujarnya, ia bagi memastikan tiada apa-apa masalah air yang akan dihadapi oleh rakyat pada bulan Ramadan dan Syawal nanti.

“Kita nak buat sekarang dan pastikan tidak ada masalah bekalan air pada bulan Ramadan di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Ini satu yang kita sudah rancang lama untuk kita baiki paip air. Ini satu kerja yang besar dan perlukan masa yang lama dan kita minta tempoh 48 jam,” katanya dalam sidang media Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue hari ini.

Dalam pada itu, Xavier turut menasihatkan orang ramai agar memulakan proses pengumpulan air bagi menampung kegunaan air pada tarikh berkenaan.

“Kita sudah keluarkan kenyataan melalui SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) untuk jimatkan air dan simpan air untuk dua hari ini dan saya ingat yang penting bahawa kita kena cuba dan mula hormat dan jimatkan air sebagai satu sumber penting untuk negara.

“Kita kena kurangkan penggunaan air di setiap seorang daripada kita dan ini adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang bagi memastikan air mencukupi,” katanya lagi.

SPAN pada Khamis lalu memaklumkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Gangguan bekalan air berkenaan akan melibat 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

Malah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menjangka bahawa hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam. -MalaysiaGazette