Asmuni (tengah) mengetuai barisan Exco dan ADUN PH Perak menyatakan sokongan kepimpinan Menteri Besar
Asmuni Awi

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak menyatakan pendirian dan sokongan padu kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sokongan itu yang turut dihadiri anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dinyatakan Exco Kanan Perak, Asmuni Awi pada sidang media selepas selesai persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini.

Asmuni turut menyentuh mengenai rakaman audio yang tersebar baru-baru ini terutama khabar angin yang mengatakan ketiadaan sokongan terhadap Menteri Besar.

“Bagi menjawab semua keraguan itu, saya bersama barisan Exco menzahirkan sokongan penuh tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Menteri Besar sebagai ketua dan pemimpin serta mengetuai kerajaan PH Perak.

“Saya juga ingin menegaskan, ini adalah satu perbuatan dan propaganda ‘pecah dan perintah’ serta iri hati terhadap kepimpinan kerajaan PH.

“Isu ini menambahkan perpaduan lagi kami dan menguatkan hubungan kami sebagai sebuah keluarga demi kepentingan rakyat Perak khasnya,” katanya.

Beliau berkata, pendirian dan sokongan itu bukan sahaja Exco kerajaan negeri, malah semua ADUN serta kepimpinan parti PH masing-masing berdiri teguh dan memberikan sokongan padu Ahmad Faizal.

Justeru, katanya, mereka berjanji untuk meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan demi untuk memastikan peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyat Perak seluruhnya. – MalaysiaGazette