Ismail Sabri ketika menyampaikan ceramah Menongkah Malapetaka Bangsa anjuran Perkasa Pahang malam tadi
Ismail Sabri ketika menyampaikan ceramah Menongkah Malapetaka Bangsa anjuran Perkasa Pahang malam tadi.

KUALA LUMPUR – UMNO, Pas bekerjasama untuk menentang usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai DAP daripada cubaan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama itu ternyata menimbulkan rasa kurang senang DAP dan rakannya dalam PH sehingga membuat fitnah kononnya UMNO dan Pas telah mengisytiharkan perang ke atas orang bukan Melayu, Islam.

“Walaupun kita sudah jelaskan kepada rakyat bukan Melayu, Islam bahawa kita bukan mengisytiharkan perang dengan kerjasama itu, tetapi pemimpin kanan DAP cuba menanam kebencian dan kemarahan kepada kita.

“Jadi, tidak hairan kalau ada pemimpin DAP yang lain menyatakan kerajaan akan jadi Taliban jika kerjasama UMNO, Pas diteruskan.

“Sebenarnya apa yang mereka lakukan itu, bukti mereka takut. Mereka tahu kekuatan Islam, Melayu apabila kita bersatu,” katanya ketika berucap pada ceramah perdana Perpaduan Ummah di Laman Kerayong, Bandar Bera, dekat Pahang malam tadi.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali dan Yang Dipertua Pas Kawasan Bera, Sharum Mohamad.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, jika UMNO, Pas meneruskan kerjasama itu, walaupun cuba dihalang dan difitnah oleh DAP, nescaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, kerajaan PH akan tumbang.

“Kalau kita teruskan kerjasama ini, walaupun DAP terus mencucuk untuk memusnahkan kerjasama dua parti Melayu, Islam terbesar ini, PRU-15 nanti kita akan tawan semula Putrajaya bersama UMNO dan Pas.

“Percayalah, apa yang kita lakukan ini bukan untuk kepentingan UMNO dan Pas tapi untuk kepentingan Islam, bangsa dan Raja-Raja Melayu yang sedang dicabar.

“Ini satu ibadah. (Tapi) kalau kita gagal, sampai bila-bila kita akan dijajah oleh DAP,” katanya. – MalaysiaGazette