Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad mencadangkan kepada Datuk Zaharin Mohd Yasin supaya menarik balik tuduhan beliau dan meminta maaf.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyenaraikan sekurang-kurangnya enam program termasuk beberapa janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjaya dilaksanakan sepanjang hampir setahun memerintah.

Katanya, antara kejayaan itu ialah menubuhkan Majlis Menteri, mewartakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur dan mengkaji semula transaksi tanah di Kuala Lumpur.

Manakala program tumpuan yang sedang dalam peringkat pelaksanaan ialah menyelesaikan projek Taman Timba Kiara, mengurangkan kesesakan jalan raya dan program kebajikan untuk golongan B40.

“Saya di Kementerian Wilayah Persekutuan telah berusaha sebaik mungkin untuk kebaikan rakyat dalam menunaikan amanah yang diberikan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Khalid, antara kejayaan paling besar beliau ialah mempertingkatkan mutu demokrasi di Kuala Lumpur dengan menubuhkan Majlis Menteri.

Ujarnya, Majlis Menteri itu dipengerusikan beliau sendiri, manakala anggotanya adalah semua 11 Ahli Parlimen di Kuala Lumpur.

Mengenai teras kedua Manifesto PH iaitu mewartakan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur, beliau menjelaskan, segala persiapan dan kerja perundingan sedang dijalankan untuk menyiapkannya dan akan diwartakan menjelang akhir tahun 2020.

“Mengkaji semula transaksi tanah Kuala Lumpur pula antara langkah awal kementerian lakukan apabila menjadi kerajaan dengan mengkaji semula 97 transaksi tanah kepada pelbagai syarikat di Kuala Lumpur.

“Sebelum itu, pelbagai laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenainya, dan satu pasukan petugas telah ditubuhkan terdiri dari pegawai pejabat saya, kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya.

Berhubung janji Manifesto PH ke-25 iaitu program tumpuan yang sedang dijalankan, Khalid memberitahu, pihaknya sedang berusaha menyelesaikan pembangunan di Taman Rimba Kiara bagi membolehkan kira-kira 100 keluarga yang mendiami rumah panjang sementara di situ mendapat rumah kekal sebagaimana dijanjikan kerajaan sejak 36 tahun lalu.

Program itu, katanya, agak kontroversi kerana mendapat bantahan penduduk sekitar serta ahli parlimen di kawasan berkenaan kerana dijanjikan untuk dihentikan menjelang PRU-14 lalu.

“Pemaju telah bersetuju untuk menurunkan jumlah tanah yang diambil dari 12 ekar iaitu empat ekar tapak rumah dan kuil serta lapan ekar kawasan lapang.

“Memandangkan masih berlaku pertikaian lagi, perkara ini akan dibawa kepada Kabinet untuk diselesaikan,” katanya.

Mengenai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya, beliau menjelaskan, ia tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat, tetapi memerlukan perancangan teliti.

Kementeriannya dan DBKL memerlukan perancangan lebih baik termasuk dalam Pelan KL 2040 bagi mengurangkan kesesakan jalan raya, katanya.

“Satu pasukan perunding sedang dilantik untuk membuat kajian dan seterusnya membuat cadangan untuk menyelesaikannya untuk jangka pendek dan jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette