Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Dialog Menteri KPDNHEP Bersama Media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan perlu jujur dan tidak “in denial” apabila membicarakan pelaksanaan janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau berkata, sepanjang tempoh setahun pentadbiran PH sebagai kerajaan, ada janji yang telah berjaya dilaksanakan dan ada juga yang tidak boleh dipenuhi.

Setiausaha Agung PKR itu meletakkan status janji-janji pilihanraya itu dalam tiga kategori.

“Jadi apabila bercakap tentang kejayaan pelaksanaan manifesto dia jatuh kepada tiga acuan.

“Pertama telah berjaya, acuan kedua sedang (dilaksanakan) dan yang ketiga tidak dapat buat.

“Ketiga-tiga acuan itu akan PKR bentangkan dalam mesyuarat PH nanti,” katanya semasa sesi bersama media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.

MGF22042019_Majlis Dialog Menteri KPDNHEP Bersama Media_09
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra bersama pengamal media pada Majlis Dialog Menteri KPDNHEP Bersama Media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2019

Tambah Saifuddin, terdapat juga janji yang hanya dapat ditunaikan separuh sahaja buat masa ini seperti penghapusan hutang peneroka dan perkara berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN).

“Dalam manifesto kita berjanji untuk menghapuskan hutang peneroka kerana ketika menggubal manifesto tersebut, kita tidak tahu keadaan sebenar yang berlaku di dalam Felda.

“Ini kerana kita tidak mendapat akses kepada maklumat sebenar sebagaimana maklumat yang diterima kerajaan cuma kita tahu peneroka terpaksa menanggung hutang penanaman semula yang tinggi.

“Apabila kita menjadi kerajaan, kita baru tahu keadaan sebenar dan cuma mampu menghapuskan kadar faedah sahaja melalui syor kertas putih.

“Manakala PTPTN pula, kita telah berjaya menunaikan janji untuk membatalkan senarai hitam. Itu telah kita laksanakan.

“Apa yang kita belum dapat buat adalah membuat potongan PTPTN apabila peminjam tersebut sudah mendapat gaji RM4,000 sebulan,” katanya lagi.

Antara janji dalam manifesto PH adalah penghapusan tol, penghapusan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat serta pemberian subsidi petrol.

PH bakal meraikan setahun pentadbirannya pada 9 Mei ini selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun. – MalaysiaGazette