Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dituntut untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan proses pemutihan dalam perkhidmatan awam seperti yang dinyatakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming baru-baru ini.

Penjelasan juga perlu diberikan untuk mengetahui sama ada perkara itu telah diputuskan oleh kabinet dan apakah kapasiti dan motif Kian Ming mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi persepsi negatif itu, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, Pas turut menuntut penjelasan adakah frasa ‘proses pemutihan dalam perkhidmatan awam’ yang digunakan itu merupakan satu tindak balas sewenang-wenang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung kedudukannya yang tidak mendapat dukungan dan sokongan daripada pegawai kerajaan tanpa terlebih dahulu memeriksa sebab dan puncanya.

“Penjelasan kerajaan dalam perkara ini terutamanya dalam isu-isu di atas amat penting bagi memperjelaskan sikap kerajaan berhubung apa yang dikatakan sebagai ‘proses pemutihan dalam perkhidmatan awam’.

“Kerajaan tidak seharusnya bertindak dan menjadi ‘mabuk kuasa’ semata-mata untuk menutup kelemahan mereka sendiri dengan menekan dan ‘membalas dendam’ terhadap musuh-musuh politik PH sama ada yang berada dalam perkhidmatan kerajaan atau di luarnya,” katanya dalam satu kenyataan hair ini.

Dalam masa yang sama, kerajaan tidak wajar bertindak seolah-olah memberi ‘amaran’ kepada kakitangan awam supaya mereka hanya perlu menjadi ’pak turut’ kerajaan dalam semua keadaan, sama ada betul atau salah.

Menerusi kenyataan itu, Takiyuddin juga meminta penjelasan kerajaan dalam beberapa isu yang melibatkan tindakan pimpinan Kerajaan PH dan juga badan-badan di bawahnya yang jelas menampakkan pelanggaran undang-undang dan prosedur yang diguna pakai dan diamalkan dalam perkhidmatan awam selama ini.

Antaranya atas kapasiti apa Ketua Menteri Pulau Pinang membuat kenyataan bahawa SPRM telah ‘membersihkan’ pihak-pihak yang terlibat dalam Isu projek pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan tiga jalan yang bernilai RM6.3 bilion.

“Bukankah ini peranan dan fungsi SPRM?. Lagipun kini terdapat kes Mahkamah yang melibatkan tuduhan di bawah Seksyen 420, Kanun Kesiksaan, iaitu menipu ke atas individu yang dikatakan ada kaitan dengan isu ini,” ujarnya.

Pas juga mahu penjelasan kenapa Jabatan Peguam Negara memfailkan Afidavit melalui Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam kes Inkues Pegawai Bomba Mohd Adib Mohd Kassim mengesahkan simati ‘tidak dipukul oleh mana-mana orang’ sedangkan prosiding inkues masih lagi berjalan.

Pertanyaan juga dibuat bolehkah kerajaan memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak tertentu yang terlibat dalam tuduhan dan dakwaan rasuah di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga sebahagian besar pegawai dan kakitangan JPJ Pulau Pinang ditangkap untuk siasatan lanjut.

Akhir sekali, mengapa kes-kes rasuah dan jenayah yang melibatkan pimpinan Kerajaan PH termasuk anggota keluarga mereka kelihatan tidak dikendalikan secara telus dan dilengah-lengahkan proses pendakwaannya. – MalaysiaGazette