KUALA LUMPUR – Saham Malaysian Resources Corporation Bhd’s (MRCB) berada pada aliran meningkat hari ini berikutan projek Bandar Malaysia diteruskan.

MIDF Research hari ini mengekalkan saranan “beli” terhadap MRCB dengan harga sasaran (TP) dilaraskan kepada RM1.05 daripada 90 sen sebelum ini.

Katanya, meskipun butiran projek Bandar Malaysia masih sedikit, ia percaya terdapat banyak peluang berdasarkan nilai pembangunan kasar (GDV) terbaru yang dianggarkan RM140 bilion.

Ia positif apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyebut mengenai penyertaan Bumiputera dan penggunaan banyak kandungan tempatan akan diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek itu.

“Kami fikir MRCB berada di kedudukan baik untuk turut serta dalam projek ini, berdasarkan rekodnya dalam pembinaan PJ Sentral dan KL Sentral sebagai pemaju pengangkutan,” kata MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam anggaran awal, katanya GDV Bandar Malaysia dilaporkan bernilai RM200 bilion dan akan dibangunkan dalam tempoh 25 tahun.

Pembangunan di tapak seluas 486 ekar (196.677 hektar) di pangkalan tentera udara Sungai Besi yang lama itu, akan membabitkan pembangunan berorientasikan transit (TOD), hab perniagaan global dan destinasi runcit gaya hidup.

Menurutnya, keseluruhan pembangunan itu akan berpotensi mengambil masa lebih 15-25 tahun.

Sementara itu, MRCB sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman bagi TOD Bandar Malaysia pada Januari 2017 dengan Wondrous Vista Development Sdn Bhd dan TRX City Sdn Bhd.

“Susulan Bandar Malaysia dihentikan pada Mei 2017, kami percaya perjanjian sepatutnya telah luput, kerana ia hanya sah selama enam bulan,” kata MIDF Research.

Pada 11.42 pagi, saham MRCB naik 8.33 peratus atau lapan sen kepada RM1.04 dengan 36.42 juta saham didagangkan.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN : Projek Bandar Malaysia diteruskan – PM