Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jualan dana asing meningkat lebih tinggi kepada RM433.4 juta pada minggu lalu.

MIDF Research berkata, ia merupakan minggu terbesar yang menyaksikan aliran keluar pelabur asing dalam tempoh enam minggu.

Menurutnya, bursa memulakan jualan sebanyak RM100 juta pada hari Isnin meskipun masih ada kebimbangan tentang perang perdagangan antara China-Amerika Syarikat berikutan pemulihan kukuh eksport China yang berkembang 14.2 peratus tahun ke tahun pada bulan Mac 2019.

Tetapi jualan pelabur asing susut kepada RM38.2 juta pada hari Selasa menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama China.

“Majoriti Asia utara seperti Taiwan dan Korea menyaksikan aliran masuk melepasi AS$100 juta,” kata firma penyelidikan itu.

Terdapat pengeluaran dana asing pada hari Rabu sebanyak RM140.6 juta disebabkan kemungkinan pengecualian Hutang Malaysia daripada FTSE Indeks Bon Kerajaan Dunia yang boleh menyebabkan pengeluaran sejumlah AS$8.0 bilion daripada pasaran bon negara.

Aliran keluar diteruskan pada hari Khamis dengan jumlah AS$96.4 juta dan RM59.8 juta lagi pada hari Jumaat.

Setakat minggu lalu, pengeluaran asing bagi bulan April adalah RM1.14 bilion. Manakala aliran keluar yang direkodkan sepanjang tahun ini pula sebanyak RM2.5 bilion.

Malaysia masih mengekalkan kedudukan sebagai negara dengan aliran keluar pelabur asing tertinggi dalam kalangan ASEAN yang dipantau.

Manakala India pula menyaksikan kemasukan terbesar pelabur asing dengan jumlah RM30 bilion menjelang pilihan raya pada Mei ini. – MalaysiaGazette