Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bergambar kenangan bersama peserta-peserta diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy (dua kiri) pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 22 APRIL 2019.

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menafikan wujud pengaruh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam rombakan kabinet dan pelantikan tiga exco baharu kerajaan negeri Johor yang mengangkat sumpah hari ini.

Perdana Menteri berkata, rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik semalam dibuat menerusi keputusan Pakatan Harapan (PH) Johor sepenuhnya.

Itu reaksi pemimpin nombor satu negara itu setelah diajukan soalan dari wartawan di Dewan B, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sempena Konvesyen Orang Asli di sini pagi tadi.

SOALAN: Tun, hari ini tiga Exco baharu di Johor mengangkat sumpah menggantikan Mazlan Bujang, Osman Sapian dan Tang Hong Pin. Adakah ia makna wujud pengaruh Sultan Johor?

Tun M: Ahli Exco negeri mana yang anda maksudkan?

SOALAN: Ahli Exco Negeri Johor Tun..

Tun M: Saya akan semak dan melihat apa yang berlaku.

SOALAN: Adakah macam Sultan Johor pengaruhi pelantikan (tiga exco dan rombakan) itu?

Tun M: Sultan Johor tidak ada pengaruh, saya rasa begitulah.. ia melibatkan PH Johor.

Begitu jawapan Mahathir yang Pengerusi PH selepas merasmikan Konvensyen Pertama Orang Asli 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi tadi.

Semalam, tiga Exco Johor mengangkat sumpah menyaksikan tiga muka baharu pagi ini di Istana Johor selain hampir semua portfolio barisan kepimpinan negeri itu disusun semula.

Ketiga-tiga muka baharu yang dikaitkan membarisi barisan baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, ADUN Tenang , Mohd. Solihin Badri dan ADUN Jementah, Tan Chen Choon.

Dua Exco lama digugurkan ialah ADUN Skudai yang sebelum ini menjawat portfolio Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tang Hong Pin serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri yang juga ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Rombakan Exco dibuat setelah Menteri Besar Johor yang baharu, Dr. Sahruddin Jamal mengangkat sumpah menggantikan Osman Sapian pada 14 April lalu.

Kemudian beliau mengumumkan akan berlaku rombakan pada barisan Exco kerajaan negeri itu.- MalaysiaGazette