KUALA LUMPUR – Beberapa jalan di sekitar Shah Alam ditutup bagi melancarkan program Larian ‘IOS Half Marathon’ anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pada 28 April ini.

Dalam satu kenyataan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan, kesemua jalan terbabit ditutup mulai pukul 2 petang hingga 6 pagi untuk tujuan persiapan dan semasa program berlangsung.

“Antara jalan terbabit ialah Persiaran Institut, Persiaran Kayangan, Jalan Padang Jawa, Persiaran Selangor, Bulatan Kemajuan, Bulatan Perusahaan, Persiaran Datuk Menteri, Bulatan Mestika, Persiaran Raja Muda dan Bulatan Bestari.

“Kami menyeru orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinyatakan pada tempoh berkenaan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu menurut kenyataan berkenaan, pengguna jalan raya diminta supaya memberikan kerjasama dengan menggunakan jalan alternatif untuk menuju ke destinasi masing-masing. – MalaysiaGazette