Bezza Limited Edition

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 unit Bezza Limited Edition yang dibawa khas oleh Perodua semasa Malaysia Autoshow 2019 telah habis dijual dalam tempoh tiga hari.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr. Zahari Husin berkata, Perodua tidak bercadang memperkenalkannya di pasaran kerana mahu model edisi terhad itu khas bagi acara tersebut.

Ditawarkan pada harga RM44,890, Perodua Bezza Limited Edition tampil dengan warna luaran Ivory White, kit badan GearUp kemasan hitam matte yang dikelilingi jejalur merah serta spoiler belakang berwarna hitam matte.

Model tersebut juga didatangkan dengan bumbung berwarna hitam, rim aloi berwarna kelabu gelap, cermin sisi berwarna merah dan pelekat bercorak geometrik pada bonet serta pada bahagian sisi.

Bahagian dalaman Perodua Bezza Limited Edition lebih bergaya dengan penambahan sarung tempat duduk GearUp dengan kemasan jahitan merah, corong udara berwarna merah serta karpet koil GearUp.

Perodua Bezza menjadi popular di Malaysia sejak dilancarkan pada 2016, dengan lebih daripada 150,360 unit dijual sehingga kini. Ia merupakan sedan pertama Perodua dan direka sepenuhnya oleh syarikat tersebut.

Dalam pada itu, Zahari memberitahu, Perodua telah menerima sebanyak 450 tempahan di Malaysia Autoshow 2019 baru-baru ini, mencatat jumlah tempahan tertinggi yang pernah diterima oleh Perodua di acara tahunan tersebut.

“Ini bermakna Perodua telah mengumpul lebih daripada 110 tempahan setiap hari secara purata. Ini merupakan pencapaian tertinggi sejak kami mula menyertai Malaysia Autoshow pada tahun 2017,” kata Zahari.  – MalaysiaGazette