Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (tengah) beramah mesra bersama wakil pelanggan pada Majlis Mendatangani Perjanjian Utama Program Kolaborasi Industri Antara Kerajaan Malaysia dan Bombadier Hartasuma Consortium di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 23 APRIL 2019

PUTRAJAYA- Konsortium Bombardier Hartasuma (BHC) bakal menggunakan sekurang-kurangnya 35 peratus kandungan tempatan yang bernilai kira-kira RM600 juta semasa membekalkan 27 set tren baharu bagi Jajaran Kelana Jaya (KLAV-27).

BHC memperolehi RM1.7 bilion kontrak untuk membekalkan tren-tren tersebut kepada Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dan akan mula menyerahkannya kepada syarikat berkenaan bermula suku pertama tahun depan.

Selain itu, BHC yang turut dianugerahkan kontrak bernilai RM437 juta bagi menaiktaraf tren dua gerabak pertengahan usia (MLR) bagi Jajaran Kelana Jaya juga bersetuju untuk melanjutkan pangkalan data 14 pembekal tempatan sedia ada dengan menggunakan komponen dan perkhidmatan mereka yang bernilai RM100.7 juta.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini semua adalah hasil daripada dasar Program Kerjasama Industri (ICP) yang mana ketika ini, kerajaan menetapkan setiap RM1 yang telah dibelanjakan untuk aktiviti pemerolehan, ia akan menerima nilai kredit ICP bernilai RM1 menerusi pelbagai cara seperti pemindahan teknologi, latihan industri, akses pasaran global, pembangunan rangkaian bekalan tempatan dan penggunaan kandungan tempatan.

“Ia bukan mengenai pulangan tunai sahaja tetapi lebih kepada nilai yang boleh disumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Pendekatan ini merupakan pemangkin kepada pemain industri tempatan untuk menjadi sebahagian daripada usahasama strategik global Bombardier dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri Malaysia.

“Tambahan pula, ratusan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan boleh dibuka dalam tempoh empat tahun akan datang menerusi pelaksanaan ICP,” katanya selepas memeterai perjanjian ICP Peringkat Pertama di antara Kerajaan Malaysia dan BHC di sini hari ini.

Jelas Guan Eng, dasar ICP meliputi semua aktiviti pemerolehan kerajaan yang berkaitan pembekalan, perkhidmatan dan pekerjaan yang melebihi nilai ambang yang telah ditetapkan.

Katanya, nilai ambang yang ditetapkan kepada syarikat asing adalah kontrak pemerolehan melebihi RM50 juta manakala nilai ambang bagi syarikat tempatan adalah RM100 juta.

Pelaksanaan ICP akan ditadbir oleh Technology Depository Agency Bhd. (TDA) yang merupakan sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan.- MalaysiaGazette