Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah bercakap kepada media ketika hadir prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Kompleks Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2019

SHAH ALAM – Pasukan Pegawai Pengendali inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak mengetahui tindakan dua saksi pakar membuat laporan polis yang mendakwa menerima ugutan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan berita pagi tadi berkata, sewajarnya perkara itu ditanya sendiri kepada saksi.

“Saya tak tahu, hanya tahu pagi ini menerusi laporan berita.

“Saya tidak boleh komen, kalau nak (dapatkan komen) pergi HKL (Hospital Kuala Lumpur),” katanya kepada pemberita.

Malaysia Gazette hari ini melaporkan dua pakar forensik yang juga saksi pakar prosiding inkues membuat laporan polis pada Sabtu yang lalu, berhubung ugutan serta cubaan mempengaruhi penilaian terhadap  kes terbabit.

Berdasarkan laporan polis itu, salah seorang pakar forensik mendakwa seorang lagi saksi pakar telah cuba meyakinkannya serta seorang lagi saksi lain untuk menandatangani surat persetujuan bahawa kecederaan di dada kanan dan di lengan atas, sebelah kanan Adib, berpunca daripada pintu kiri kenderaan EMRS.

Kejadian berlaku pada April 11 iaitu ketika ketiga-tiga pegawai terbabit hadir ke Balai Bomba Subang Jaya bagi memeriksa kenderaan EMRS serta melihat proses rekonstruksi.

Sementara itu laporan polis kedua yang dibuat seorang lagi saksi pakar mendakwa cubaan untuk mempengaruhi penilaian mereka bukan sahaja boleh menjejaskan integriti mereka sebagai saksi bahkan dilihat sebagai satu perbuatan yang tidak menghormati mahkamah.

Kedua-dua saksi pakar terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya pada Sabtu lepas.

Setakat ini, dua pakar HKL yang telah memberi keterangan ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik, Dr. Mohd. Shah Mahmood dan pakar perubatan forensik, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pakar forensik saksi inkues Adib buat laporan polis dakwa diugut saksi lain